Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Selasa, 6 Januari 2015

SUMBANGAN DAENG LIMA BERSAUDARA


Daeng Lima Bersaudara
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...
Kuasa Bugis iaitu kuasa Daeng Lima Bersaudara khususnya atau juga dikenali sebagai Upu-upu Bugis Lima Bersaudara merupakan keturunan Bugis yang berasal daripada keturunan Raja Bugis iaitu datuk mereka iaitu Opu La Maddusilat yang merupakan seorang raja di negeri Luwuk.Daeng Lima Bersaudara kemudiannya telah keluar dari negara mereka dan telah mengembara ke seluruh Alam Melayu dan akhirnya mereka dan keturunan mereka telah berjaya menempatkan diri mereka dalam arena politik dan pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu terutamanya di bahagian Barat Alam Melayu sejak kurun ke-18 lagi termasuklah kerajaan Johor-Riau.     
            Bersangkutan dengan bidang politik secara amnya, Daeng Lima Bersaudara ini banyak memberikan sumbangan dalam bidang politik iaitu dalam pemerintahan dan pentadbiran Tanah Melayu khususnya kerajaan Johor.Penglibatan Bugis di  Johor bermula apabila Sultan Abdul Jalil telah meminta bantuan daripada Daeng Lima Bersaudara sebagai sebuah kuasa ketenteraan yang kuat dan besar pada ketika itu untuk menawan semula Johor daripada Raja Kechil.Hal ini dikatakan demikian kerana pada tahun 1718, Raja Kechil daripada kerajaan Siak telah mendakwa dirinya sebagai putera Almarhum Sultan Mahmud  Shah Mangkat Dijulang dan telah mendakwa dirinya berhak ke atas takhta kerajaan Johor. Beliau telah meminta bantuan daripada Raja Bugis untuk memperkukuhkan lagi kekuasaannya.Justeru, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV iaitu Raja Sulaiman pula telah meminta bantuan daripada Daeng Lima Bersaudara.
          Seterusnya,kisah mengenai kejayaan putera Bugis lima bersaudara secara tidak langsung telah membantu Sultan Sulaiman dalam mendapatkan kembali takhta kerajaan Johor telah tersebar luas di rantau ini. Dengan pelantikan Sultan Sulaiman menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1722, Bugis akhirnya terlibat secara langsung dalam arena politik Johor. Raja Sulaiman telah bermuafakat dengan Bendahara Seri Maharaja Tun Abas bagi membalas segala jasa Daeng Lima Bersaudara khususnya untuk mendapatkan kembali takhta kerajaan Johor daripada musuhnya iaitu Raja Kechil.Baginda telah melantik Daeng Marewah untuk memegang jawatan sebagai Yang Dipertuan Muda untuk memerintah Johor, Pahang, Riau dan Lingga dan telah diberi gelaran sebagai Yamtuan Muda Riau I. Daeng Parani pula telah dikahwinkan dengan adinda Sultan Sulaiman, Tengku Tengah.Daeng Kemboja pula akhirnya menjadi Yamtuan Muda Riau III dan Daeng Chelak pula dikahwinkan dengan Tengku Mandak.
            Kehadiran orang Bugis iaitu Daeng Lima Bersaudara di Selangor pula merupakan detik permulaan kuasa Kesultanan Selangor. Pada tahun 1728, orang Bugis telah menjadikan Selangor sebagai pangkalan untuk meluaskan lagi kuasa mereka di Tanah Melayu. Daeng Parani yang telah berkahwin dengan puteri Yamtuan Selangor pula terlibat dalam peperangan antara Sultan Kedah dan Raja Kechil yang telah membantu saudara muda Sultan Kedah untuk merampas takhta kerajaan Kedah. Pada masa yang sama, Daeng Marewah telah membantu Raja Muzaffar Syah dari Bernam untuk menyerang kakanda baginda iaitu Sultan Perak.

            Konklusinya, Daeng Lima Bersaudara yang merupakan keturunan Bugis telah banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan Tanah Melayu khususnya dalam arena politik. Secara holistik, Daeng Lima Bersaudara telah memainkan peranan yang amat penting dalam perkembangan kerajaan Johor khususnya. Daeng Lima Bersaudara turut memberikan sumbangan kepada negeri-negeri di Tanah Melayu yang lain iaitu Kedah, Selangor dan sebagainya.Hasil kedatangan mereka banyak memberi impak yang besar kerana mereka adalah warga Bugis yang merupakan sebuah kuasa yang kuat dan besar pada ketika itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen