Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Ahad, 20 Disember 2015

Sebab-sebab pembentukan perjanjian persekutuan 1896 dan kepentingannya daripada segi politik dan ekonomi



Rangka Jawapan.
Pendahuluan.
Pada 1893 Frank Swettenham telah mencadangkan pembentukan sebuah persekutuan yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Setelah dua tahun dikaji, Pejabat Tanah Jajahan di London telah meluluskannya dengan syarat Sultan di keempat-empat buah negeri tersebut mesti bersetuju. Perjanjian Persekutuan telah ditantangani pada tahun 1895 dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 1896. Terdapat beberapa sebab yang membawa kepada pembentukan persekutuan tersebut seterusnya memberi kepentingan daripada aspek politik dan ekonomi kepada negeri-negeri tersebut.

Isi:
A Sebab-sebab pembentukan
1. Masalah kewangan Pahang.
Gerakan penentangan oleh rakyat terhadap British menyebabkan perbelanjaan negeri meningkat melebihi pendapatan. Kerajaan banyak meminjam dari Negeri-Negeri Selat namun Negeri-negeri tersebut tidak mampu lagi membantu. Hasrat British untuk menarik diri dari Pahang akan menjatuhkan imejnya.
2. Mengurangkan kuasa Residen.
Kuasa residen di keempat-empat Negeri-Negeri Melayu tiada garis panduan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh residen dan menimbulkan rasa tidak puas hati Sultan terhadap tindakan residen. Gabenor Negeri-Negeri Selat tidak dapat memantau kerana tinggal jauh di Singapura. Akibatnya residen menjadi terlalu berkuasa sehingga Sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal mereka.
3. Keseragaman pentadbiran.
Pentadbiran di keempat-empat negeri Melayu tiada penyelarasan dan keseragaman. Residen mentadbir mengikut budi bicara masing-masing. Setiap negeri mempunyai sistem kehakiman, undang-undang tanah dan sistem percukaiannya tersendiri.
4. Dasar penjajah British.
Sejak 1890an, kerajaan British telah menggalakkan tanah jajahannya dan negeri-negeri naungannya supaya menubuhkan persekutuan. Hal ini telah dilaksanakan dengan jayanya di Australia dan Afrika.

B Kepentingan daripada aspek politik.
1. Perintis jalan kepada penyatuan negeri-negeri Tanah Melayu. Sebuah kerajaan pusat dibentuk. Setiap negeri dalam persekutuan negeri-negeri mengekalkan identiti masingmasing.
2.Raja-Raja dan Majlis Mesyuarat Negeri di keempat-empat negeri kehilangan kuasa pentadbiran. Pemusatan kuasa pentadbiran bertumpu di tangan Residen Jeneral, yang diberi kuasa terlalu luas. Dasar pentadbiran diputuskan oleh Residen Jeneral tanpa sekatan. Residen
Jeneral mempunyai kuasa veto.
3. Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar) dibentuk, Sultan-Sultan bermesyuarat bincang
kepentingan bersama. Persidangan Durbar pertama diadakan pada 1897 di Kuala Kangsar.
4. Persekutuan 1896 satu petanda baik kepada kewujudan satu bangsa Melayu.
5. Timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan Raja-Raja sehingga membawa kepada dasar pengagihan kuasa pada tahun-tahun berikutnya dan membawa kepada penubuhan Majlis Mesyuarat Persekutuan 1909.

C Kepentingan daripada aspek ekonomi.
1. Pembangunan ekonomi semakin meningkat. Perancangan lebih berkesan dan teratur.
2. Menarik pemodal-pemodal Eropah dan saudagar-saudagar Cina dari Negeri-Negeri Selat melabur.
3. Sektor perlombongan bijih timah dan perladangan getah berkembang pesat. Teknologi baru seperti kapal korek diperkenal dan menjadikan NNMB pengeluar terbesar bijih timah dan getah.
4. Kemudahan infrastruktur seperti pembinaan landasan kereta api dan jalanraya lebih terancang. Menjelang 1903, jalinan jalan kereta api di pantai barat telah siap dibina. Pada tahun 1908, kerajaan telah membeli jalan kereta api Sungai Ujong dari pihak swasta.
5. Pendapatan NNMB meningkat daripada 8.4 juta(1896) kepada 105.4 juta(1927)
6. Pertambahan penduduk akibat kemasukan imigran Cina dan India. Berlaku proses urbanisasi dengan kewujudan bandar-bandar baru seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Seremban dan Ampang. Perkhidmatan sosial diwujudkan seperti kesihatan, pendidikan, pos dan telegraf.

Kesimpulan.

Pembentukan Persekutuan 1896 telah banyak membawa perubahan daripada aspek politik dan ekonomi di keempat-empat negeri Melayu. Berlaku beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran dan peningkatan pendapatan negeri hasil perkembangan ekonomi yang semakin meningkat. Namun begitu timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan Sultan-Sultan di keempat-empat negeri tersebut sehingga membawa kepada berlakunya dasar desentralisasi pada 1909 iaitu satu proses pemulangan kusa dari kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Ciri-ciri negara Kesatuan dan struktur negara kesatuan di Perancis



Negara kesatuan merupakan sebuah negara yang memberikan kuasa yang luas kepada kerajaan pusat dan kuasa yang terhad kepada keraiaan tempatan. Negara seperti perancis, Britain Itali dan Jepun memilih untuk mengamalkan sistem kesatuan. Negara kesatuan di Perancis terbentuk sebaik sahaja sistem feudal dihapuskan iaitu setelah Raia Louis XVI dan isterinya, Marie Antoinnette dipancung dengan gilotin.

       Antara ciri-ciri kesatuan ialah kesemua urusan negara dipusatkan, beberapa wilayah atau cawangan dibentuk dan diberi kuasa mentadbir beitujuan untuk memudahkan pentadbiran. Kuasa autonomi tidak mencerminkan kebebasan kerajaan tempatan disebabkan kuasa wilayah, bahagian atau cawangan boleh dipinda atau.ditarik balik. Sekiranya sistem ini diamalkan dalam pemerintahan masalah pertindihan tidak akan berlaku kerana sebarang percanggahan antara pembuat dasar dengan pelaksana dasar dapat dielakkan kerana keputusan akan dibuat oleh pemerintahan pusat.

       Kebiasaannya sistem kesatuan amat sesuai dijalankan di negara-negara yang tidak terlalu luas kawasan geografinya. Ini bertujuan memudahkan komunikasi dua hala serta sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa amalan red tape.Perancis telah dibahagikan kepada 83 department dan setiap department dibahagikan kepada cantons (daerah) dan commune. Departmentberperanan menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan dan diketuai oleh Prefet Sebuah majlis telah diwujudkan untuk setiap dgpartment yang dikenali sebagai General Council manakala ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat.

       Department merupakan institusi peringkat tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan kerajaan peringkat pusat. Commune pula dibentuk untuk mentadbir kawasan bandar dan diketuai oleh Datuk Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Malah, Majlis Bandaran (Municipal Council) turut diwujudkan. Tugas commune ialah mengendalikan perkara-perkara yang menyentuh pentadbiran di bandar. Antaranya ialah meluluskan permit bangunan, keselamatan penduduk dan menguruskan pendaftaran perkahwinan. Datuk Bandar merupakan wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Antara peranan beliau ialah menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera awam dan menguruskan penduduk di kawasanya.

       Walau bagaimanapun keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh diubah, dipinda
atau dibatalkan oleh kerajaan pusat. Commune merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran mahkamah rendah, jabatan kerja raya dan polis tempatan.


Kesimpulannya, pihak yang terlibat berhak memilh untuk mengamalkan pemerintahan sama ada secara kesatuan atau persekufuan kerana ini akan memberi kesan kepada keharmonian pentadbiran pusat dan wilayah di negara masing-masing.

Struktur sosial masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874



Pengenalan

-Sebelum tahun 1874, struktur masyarakat Mealayu adalah bercorak feudal.Secara umumnya,
masyarakat Melayu dapat dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah.
-Golongan pemerintah merupakan kumpulan yang kecil tetapi mempunyai pengaruh dan kuasa
dalam masyarakat Melayu tradisional.Golongan pemerintah terdiri daripada sultan atau raja,kerabat diraja, pembesar dan ulama.
-Manakala, golongan yang diperintah mempunyai jumlah yang sangat ramai dalam kalangan masyarakat Melayu.Golongan ini terdiri daripada rakyat biasa yang merdeka dan golongan hamba.
-Setiap golongan dalam masyarakat Melayu mempunyai peranan masing-masing.

Isi:
1. Sultan atau raja.
-Sultan merupakan pemerintah tertinggi di setiap negeri.Sultan akan menjadi ketua kerajaan dan
ketua pemerintah serta mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat .
-Sultan turut mempunyai kuasa dalam bidang ekonomi dan sistem kehakiman negeri.
-Seorang sultan turut mempunyai banyak keistimewaan berbanding dengan rakyat biasa.
-Misalnya,penggunaan bahasa dalam atau istana, penggunaan warna kuning dan alat- alat kebesaran diraja.Sultan juga juga dikaitkan dengan kuasa daulat.Rakyat yang menderhaka terhadap sultan akan terkena tulah.
-Upacara pertabalan sultan akan dilaksanakan untuk mengesahkan kekuasaan seorang sultan tersebut.Sultan yang mangkat akan digantikan oleh putera sulung atau adik lelaki sulung.
-Sultan juga menjadi lambang perpaduan dan keamanan negeri Melayu.

2.Pembesar
Kerabat diraja.
-Golongan ini mempunyai pertalian darah dengan sultan dan lazimnya menggunakan gelaran raja
atau tengku.
-Golongan tersebut mempunyai kedudukan dan pengaruh yang besar dalam masyarakat Melayu.Mereka turut memiliki keistimewaan seperti mana Sultan tetapi tidak boleh mengatasi keistimewaan Sultan. Mereka sangat dihormati oleh rakyat jelata.
-Anak-anak raja akan diberikan peluang untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan, misalnya akan memerintah daerah atau mukim tertentu.
-Bilangan kerabat diraja sangat ramai kerana amalan berpoligami oleh sultan.
-Walau bagaimanapun, anak daripada permaisuri pertama akan mendapat tempat yang istimewa, terutama dalam pelantikan sebagai putera mahkota atau raja muda.
-Golongan pembesar mempunyai kedudukan yang ketiga dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 di Tanah Melayu.Golongan ini dikenali sebagai keturunan baik-baik atau anak baik-baik.
-Golongan pembesar terdiri daripada dua kumpulan iaitu kerabat diraja dan kerabat bukan diraja
. Golongan bukan kerabat diraja mendapat jawatan pembesar kerana mempunyai kebolehan mentadbir dan mempunyai jasa terhadap kerajaan.
-Golongan pembesar mempunyai tugas menjaga keamanan dan memungut cukai di kwasan atau
daerah masing-masing.
-Pembesar juga mempunyai kuasa dalam bidang kehakiman seperti menjatuhkan hukuman terhadap pesalah jenayah dan sivil.
-Pembesar juga bertanggung jawab untuk mengekalkan taat setia rakyat terhadap Sultan dengan cara melaksanakan sistem serah dan kerah.
-Selain itu,terdapat juga golongan pembesar yang bertugas di luar istana,iaitu penghulu dan ulama.
-Penghulu mempunyai tugas menjaga keamanan ,membekalkan tenaga buruh,mengutip cukai
dan memastikan rakyat taat setia terhadap Sultan.
-Ulama merupakan golongan cerdik ;pandai dalam bidang agama Islam .
-Golongan ini akan memegang jawatan seperti kadi,mufti ,imam, khatib mahupun guru agama
-Golongan ini akan bertindak sebagai penasihat kepada Sultan berkaitan dengan hukum-hakam agama Islam.
-Para ulama biasanya berketurunan Arab berasal dari Asia Barat ,India dan Pulau Jawa.
-Mereka menggunakan gelaran seperti maulana

3. Golongan merdeheka.
-Golongan ini terdiri daripda rakyat biasa dan orang asing.
-Rakyat biasa merupakan penduduk peribumi yang bermastautin tetap di negeri tertentu .
-Rakyat biasa hidup bebas menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing seperti berniaga,menangkap ikan ,melombong ,tukang mahir dan sebagainya.
-Rakyat biasa merupakan pengikut taat setia terhadap pembesar yang mentadbir daerah.
-Mereka akan sentiasa mengikut arahan golongan pembesar.
-Mereka akan menjalankan semua suruhan pembesar,misalnya dalam sistem kerah dan serah.
-Rakyat Asing.Golongan ini hanya tinggal sementara di Tanah Melayu dan akan kembali ke negeri asal mereka.
-Golongan ini terdiri daripada pedagang,perantau,mubaligh dan senteri serta orang asing yang datang ke Tanah Melayu sebagai tentera upahan.
-Orang asing yang berkahwin dengan orang tempatan biasanya akan terus menetap di Tanah Melayu.
-Masyarakat Tamil-Islam merupakan kumpulan orang asing yang paling ramai di Tanah Melayu.Golongan orang asing tidak wajib mematuhi tradisi dan kebudayaan tempatan Melayu tetapi mereka mestilah mematuhi undang-undang masyarakat Melayu.

4. Hamba
-Golongan yang menduduki lapisan paling bawah dalam struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 ialah hamba.
-Hamba dalam masyarakat Melayu dapat dibahgaikan kepada tiga kumpulan ,iaitu hamba biasa,hamba berhutang dan hamba raja.
-Golongan hamba biasa merupakan golongan orang suruhan atau keturunan hamba.Golongan ini biasanya akan dijual beli dan menjadi hamba seumur hidup.Seluruh keluarganya akan menjadi hamba kepada tuannya.
-Manakala hamba berhutang merupakan orang biasa yang menjadi hamba kerana gagal membayar hutang.-amba berhutang akan bebas setelah nilai hutang tersebut habis setelah bekerja dengan tuannya.Antara kerja yang biasa dilakukan ialah bertani dan melombong.
-Selain itu ,hamba raja merupakan golongan merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah dan diampunkan oleh sultan.Hamba raja juga terdiri daripada tawanan perang .
-Hamba raja mempunyai kedudukan paling tinggi dalam kalangan semua hamba.

Kesimpulan

-Struktur masyarakat Melayu sebelum tahun 1874 sememangnya sistematik;daripada golongan memerintah sehinggalah kepada golongan yang diperintah.
-Setiap golongan dalam struktur masyarakat Melayu mempunyai tugas dan peranan masingmasing.
-Namun,setelah campur tangan British dalm sistem politik negeri-negeri Melayu,struktur masyarakat Melayu telah mengalami perubahan yang ketara.

-Hal ini kerana peranan golongan pembesar dan hamba telah mula dihapuskan oleh penjajah British.

Ahad, 6 Disember 2015

KANDUNGAN AKTA PENDIDIKAN 1996


Pengenalan Kandungan Akta Pendidikan 1996

            Akta Pendidikan 1996 telah dibahagikan kepada 16 bahagian dan 17 peraturan yang berkaitan dengan pendidikan. 16 bahagian yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 ialah bahagian 1 yang mengandungi tajuk ringkas dengan nama akta iaitu Akta Pendidikan 1996,tarikh mula kuat kuasa yang telah ditentukan oleh Menteri serta tafsiran atau definisi. Seterusnya bahagian 2 iaitu pentadbiran dengan melantik pegawai-pegawai untuk menguruskan hal-hal pentadbiran sistem pendidikan di semua peringkat. Manakala bahagian 3 menubuhkan Majlis Pendidikan Kebangsaan yang berfungsi menasihati menteri dalam hal pendidikan dan boleh mengawal selia prosedur sendiri. Seterusnya bahagian 4 iaitu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang terdiri daripada Pendidikan pra sekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan tinggi dan tidak termasuk sekolah expatriat. Selain itu, terdapat juga kategori pendidikan kerajaan iaitu institut pendidikan kerajaan, institut pendidikan bantuan kerajaan dan institut pendidikan swasta. Selain itu, di dalam bahagian 4 juga menyebut Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kecuali sekolah jenis kebangsaan dan mana-mana institusi yang dikecualikan oleh Menteri, sekolah menyediakan murid bagi peperiksaan yang ditetapkan dan kurikulum kebangsaan digunakan di semua sekolah.
            Bahagian-bahagian lain yang terdapat Akta Pendidikan 1996 ialah bahagian 5 iaitu penilaian dan peperiksaan, bahagian 6 iaitu  pendidikan tinggi, bahagian 7 iaitu Institusi Pendidikan Swasta, bahagian 8 iaitu Pendaftaran Institusi Pendidikan, bahagian 9 iaitu pendaftaran Guru, bahagian 10 iaitu jemaah Nazir sekolah, bahagian 11 iaitu kewangan, bahagian 12 iaitu rayuan, bahagian 13 peraturan-peraturan, bahagian 14 kesalahan dan penalti, bahagian 15 iaitu kepelbagaian dan akhir sekali bahagian 16 iaitu peralihan dan pemansuhan. Kesemua bahagian-bahagian tersebut mempunyai peranan yang cukup besar bagi memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.
            Terdapat 17 peraturan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996. Peraturan 1 ialah peraturan-peraturan pendidikan (Kurikulum Pra Sekolah) 1997 yang mengandungi bahan kurikulum, masa dan penilai ditentukan oleh ketua pendaftar dan penilaian dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Seterusnya, peraturan ke 2 ialah peraturan-peraturan Pendidikan ( Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/Diploma Politeknik) 1997 bertindak dalam penubuhan Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan sijil satu diploma politeknik, menentukan dasar, mengesahkan dan mengumumkan keputusan peperiksaan, tindakan tatatertib, menimbang rayuan serta menentukan penganugerahan sijil dan diploma. Di samping itu, peraturan  3 ialah peraturan-peraturan pendidikan (peperiksaan, penilaian dan pensijilan/ Maktab Pendidikan Guru) 1997 ialah sebagai rujukan dalam penubuhan Lembaga Peperiksan Guru, dasar, strategi dan garis panduan peperiksaan dan memberhentikan kursus. Di samping itu, peraturan-peraturan pendidikan (Kursus Pengajian dan Program Latihan Maktab Pendidikan Guru) 1997 yang dijadikan rujukan tenaga pengajar yang berkelayakan untuk mengendalikan kursus. Seterusnya, peraturan-peraturan pendidikan (Kurikulum Kursus Pengajian dan Program Latihan di Politeknik yang mana Lembaga Kurikulum dan Program Latihan Politeknik ditubuhkan untuk menentukan dasar dan menghasilkan dan mengawasi pelaksanaan kurikulum. Di samping itu, peraturan-peraturan pendidikan ( Kurikulum) 1997 yang menggariskan mata pelajaran teras, wajib dan elektif untuk kelas peralihan dan tingkatan enam. Seterusnya, peraturan-peraturan pendidikan (pendidikan khas) 1997 yang menumpukan kepada pelajar kecacatan pendengaran atau kecacatan penglihatan atau masalah pembelajaran.
            Seterusnya, peraturan-peraturan pendidikan (penilaian dan peperiksaan) 1997 untuk menunjukkan fungsi Lembaga peperiksaan  dalam membuat pemantau tentang penilaian berasaskan sekolah. Selain itu, peraturan-peraturan pendidikan ( pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997 yang dijadikan rujukan mengenai pendaftaran dan pemberhentian operasi institusi pendidikan. Peraturan-peraturan lain yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 ialah Peraturan-peraturan pendidikan (Institusi Pendidikan Swasta) (Disiplin Murid) 1998, Peraturan-peraturan pendidikan (Majalah sekolah dan Bahan Multi Media) 1998, Peraturan-peraturan pendidikan ( Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998, Peraturan-peraturan pendidikan (persatuan Sekolah) 1998, Peraturan-peraturan pendidikan ( Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998, Peraturan-peraturan pendidikan (Institusi Pendidikan Swasta (Piawaian) 1998, Peraturan-peraturan Pendidikan (Institusi Pendidikan Swasta) (Iklan) 1998 dan akhir sekali Peraturan-peraturan ( Penerimaan Masuk Muri ke Sekolah Penyimpanan Daftar dan Syarat Pengekalan Murid Belajar di Sekolah) 1998.

 Sistem Pendidikan Kebangsaan

Pengenalan Akta Pendidikan 1996 telah menumpukan ke arah menyelaras sistem pendidikan di semua peringkat. Buat pertama kali dalam sistem pendidikan, Akta Pendidikan 1996 memperjelaskan komponen-komponen sistem pendidikan kebangsaan dalam bahagian 5 yang terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan selepas menengah dan pendidikan tinggi. Selain itu, Akta Pendidikan 1996 juga mempunyai tiga kategori iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Menurut Mohd. Ismail Othman, 2004, pendidikan swasta perlu diorientasikan bagi mencerminkan beberapa ciri asas keperibadian kebangsaan dengan menggunakan kurikulum kebangsaan dan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di samping menyediakan pelajar-pelajar mengambil peperiksaan awan seperti yang termaktub dalam bab 4 Akta Pendidikan 1996 yang bertujuan untuk mengelak sekolah swasta menyediakan sistem pendidikan yang tidak sehaluan dengan sistem pendidikan kebangsaan.

 Bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan
             Akta Pendidikan 1996 telah meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi yang dikecualikan. Sehubungan itu, bahasa  kebangsaan telah dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah dan institusi pendidikan. Langkah ini sangat penting ke arah penyatuan kaum di negara ini.

Kurikulum Kebangsaan.
            Kurikulum kebangsaan hendaklah wajib digunakan bagi semua sekolah termasuk sekolah swasta. Dalam hal ini,Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum kebangsaan yang tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah digunakan oleh semua sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan. Kurikulum kebangsaan yang ditetapkan di bawah subseksyen (1) hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka akan diperolehi  oleh murid-murid pada akhir tempoh persekolahan masing-masing. Sukatan dalam Kurikulum Kebangsaan telah diselaraskan bagi semua sekolah di negara ini. Walaupun sudah terdapat cadangan dalam Penyata Razak (1956) dan laporan Rahman Talib (1960) bagi mengadakan sukatan pelajaran yang sama bagi semua sekolah, tetapi penekanan kepada kurikulum kebangsaan hanya diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.

 Pendidikan Prasekolah
            Pada zaman globalisasi sekarang, pendidikan sejak dari kanak-kanak amat penting supaya kanak-kanak tersebut dapat menerima pembelajaran dan dapat membiasakan diri dengan suasana persekitaran sekarang. Oleh itu, Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahagian 4 dalam sistem pendidikan kebangsaan suatu komponen penting iaitu pendidikan prasekolah. Dalam bahagian tersebut telah menegaskan tiada tadika boleh ditubuhkan, dikendalikan atau diruskan melainkan jika tadika itu didaftarkan di bawah akta ini. Hal ini demikian kerana untuk menyelaraskan sistem pendidikan di peringkat prasekolah. Di samping itu, Menteri Pendidikan juga telah diberi kuasa untuk menubuhkan tadika tertakluk kepada peruntukkan akta.  Menurut Mohd. Ismail Othman, 2004, oleh sebab kesedaran di kalangan ibu bapa sudah terasa mengenai pentingnya pendidikan pada peringkat ini, maka sejumlah 399,980 kanak-kanak, iaitu mewakili 63.7 peratus kanak-kanak dalam kumpulan umur 5-6 tahun mendaftar di pusat prasekolah pada tahun 2000. Di samping itu, program dan kegiatan di setiap tadika hendaklah berasaskan garis panduan kurikulum untuk tadika yang diluluskan oleh Menteri supaya dapat menyelaraskan dan memberi kesan kepada pelajar.

 Pendidikan Rendah
          Pendidikan rendah diadakan dalam tempoh 5 tahun bagi yang pintar sehingga 7 tahun bagi yang bermasalah. Mengikut peruntukan ini juga, pendidikan rendah wajib, tetapi penguatkuasaan undang-undang ini ditangguhkan kerana terdapat masalah yang dihadapi oleh ibu bapa khasnya di luar bandar. Timbalan Menteri pendidikan telah berkata, ‘ tahun lalu (2002) kerajaan bersetuju meminda Akta Pendidikan melalui seksyen 29 A(2) Yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun. seksyen A (4) pula menyebut ibu bapa yang gagal mematuhi peruntukan 29 a (2) boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali. Namun, terdapat masalah yang dihadapi oleh ibu bapa di luar banyak, Timbalan Menteri pendidikan telah menjelaskan “ Kita tidak akan menguatkuasakan undang-undang jika ibu bapa tidak faham dan kita tidak mahu meletakkan kesalahan ke atas bahu mereka tanpa memahaminya.

 Pendidikan Menengah  
          Pendidikan menengah hendaklah menjadi kewajipan menteri untuk mengadakan pendidikan menengah di sekolah menegah kebangsaan seperti sekolah menengah akademik, sekolah menegah teknik dan sekolah menegah daripada apa-apa perihal lain yang ditentukan oleh menteri dari semasa ke semasa. Selain itu, tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri boleh mengadakan pendidikan menengah atas di mana sekolah menengah kebangsaan.

Pendidikan selepas Menengah
          Pada peringkat ini amat penting untuk diberi pendidikan sempurna kepada pelajar. Namun pada Akta pelajaran 1961, tidak terdapat peruntukkan pendidikan selepas menengah yang terkandung di dalamnya. Apabila timbul kesedaran mengenai pentingnya pendidikan pada peringkat ini, maka peruntukan peruntukkan telah dibuat dalam Akta Pendidikan 1996 yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan bagi mengadakan pendidikan selepas menengah. Pendidikan ini telah diadakan di sekolah menengah, kolej-kolej atau institusi pendidikan yang sesuai.

Pendidikan Tinggi
Pendidikan tinggi adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Ia memainkan peranan yang amat penting bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan golongan profesianal negara. Justeru dalam bahagian 4 Akta Pendidikan 1996 iaitu pendidikan Tinggi, Menteri Pendidikan diberi tanggungjawab ke atas pendidikan tinggi daripada sudut perundangan penubuhan, pengendalian, pengurusan dan pelanggaran undang-undang yang berkaitan dengannya. Penyata dasar pendidikan tinggi bertujuan mempertingkatkan penyertaan penduduk bagi kumpulan umur antara 19 sehingga 24 tahun mendapat pendidikan tinggi dengan menambah bilangan Institusi Pendidikan Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Swasta (IPTS)


Pendidikan Islam
Dalam Akta Pendidikan 1996, pendidikan Islam telah diperluas untuk murid-murid Islam di semua kategori sekolah, termasuk sekolah swasta. Undang-undang baru ini menegaskan Pendidikan Islam wajib diajar kepada setiap murid Islam di semua jenis sekolah. Justeru, dalam Akta Pendidikan 1996 iaitu seksyen 50 memperuntukkan supaya semua sekolah, termasuk sekolah swasta, wajib mengadakan kemudahan bagi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, apabila terdapat lima orang murid Islam atau lebih di sebuah sekolah. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Pendidikan Islam juga telah dijadikan salah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah menengah.

Pendidikan khas
          Pendidikan Khas juga diberi perhatian yang lebih dengan adanya peruntukan yang cukup bagi pendidikan tersebut di dalam Akta Pendidikan 1996. Sehubungan itu, Menteri Pendidikan wajib hendaklah mengadakan di sekolah khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34 (1) (b) atau di mana-mana sekolah rendah atau menegah yang difikirkan oleh Menteri bersesuaian. Tempoh pendidikan rendah dan menengah juga hendak bersesuaian dengan keperluan murid yang menerima pendidikan kita dan kurikulum yang hendaklah digunakan berhubungan dengan pendidikan khas yang tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3) dalam Akta Pendidikan 1996.

Pendidikan Teknik dan politeknik
          Dalam usaha untuk membudayakan sains dan teknologi, peruntukan Akta Pendidikan 1996 telah mempertingkatkan pendidikan teknik di semua sekolah teknik dan politeknik. Sehubungan itu, Akta Pendidikan 1996 telah memudahkan sekolah-sekolah vokasional di naik taraf ke sekolah-sekolah teknik. Selain itu, politeknik juga boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalikan kursus teknik atau vokasional atau program latihan dan program pertukaran. Peruntukan yang terdapat dalam Akta pendidikan 1996 adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan masyarakat negara ini menguasai ilmu serta kemahiran-kemahiran untuk bersaing di peringkat global.

Jemaah Nazir Sekolah
            Salah satu bahagian yang penting dalam Akta Pendidikan 1996 ialah Jemaah Nazir Sekolah yang terkandung dalam bahagian x Akta Pendidikan 1996 iaitu bab 1 dan bab 2. Menurut Akta Pendidikan 1996, ketua Nazir hendaklah bertanggungjawab iaitu dengan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dilantik oleh Menteri, bagi memastikan bahawa taraf pengajaran yang  memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan. Selain itu, Ketua Nazir juga hendaklah memeriksa institusi pendidikan atau menyebabkan institusi pendidikan diperiksa oleh Nazir sekolah pada satu tempoh yang difikirkan sesuai. Di samping itu, apabila ketua Nazir diarahkan supaya berbuat sesuatu institusi pendidikan atau menyebabkan institusi pendidikan itu diperiksa dan menjalankan institusi pendidikan sebagaimana yang telah ditetapkan.

Penilaian dan Peperiksaan
Dalam Akta Pendidikan 1996 juga ditekan mengenai penilaian dan peperiksaan terhadap murid untuk memastikan tahap keberkesanan sesuatu sistem. Seksyen 19 telah memperuntukkan supaya semua sekolah menyediakan muri-murid bagi mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan. Kerajaan telah menyedari penilaian bagi mengukur pencapaian dan kemahiran murid adalah penting bagi mendapat maklumat berkenaan tahap pencapaian mereka. Oleh itu, penilaian dan peperiksaan diperuntukkan dalam akta pendidikan ini pada bahagian V.

Peraturan Pendidikan
          Satu lagi perkara yang penting yang terdapat dalam Pendidikan 1996 ialah Peraturan Pendidikan. Peraturan pendidikan ini berkait rapat dengan sistem sekolah dan institusi pendidikan yang lain. Satu bahagian iaitu bahagian XIII dimasukkan untuk peraturan-peraturan tentang pendidikan. Bahagian ini merangkumi peraturan-peraturan yang berhubung dengan had umur dan pendaftaran murid, disiplin di institusi pendidikan, kurikulum, kokurikulum, yuran, penyimpanan akaun sekolah dan sebagainya. Melalui peraturan, sistem pentadbiran pendidikan dilihat lebih teratur serta dapat memudahkan pihak pengurusan institusi pendidikan membuat rujukan dari semasa ke semasa.


Rujukan

Mohd. Ismail Othman.(2004). Undang-undang untuk pengetua dan guru besar. Bentong: PTS
 P Publilication & Distributors Sdn.Bhd.
Tie Fatt Hee. (2002). Undang-undang Pendidikan di Malaysia. Shah Alam: Penerbit Fajar
Bakti Sdn.Bhd.
Lembaga Penyelidikan Undang-undang, (2007) Akta Pendidikan 1996. Petaling Jaya :
International Law Book Services
.Noriati A. Rashid et al. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Syed Ismail & Mohd Subki. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Akta Pendidikan 1996 di ambil daripada : id.slideshare.net/kokilavanni/akta-pendidikan-1996
Bab 1: Isu dan Cabaran Pendidikan semasa di ambil daripada:
Perkembangan Pendidikan di Malaysia di ambil daripada:
kpf3012.wikispaces.com/file/view/KPF3012.pdf
Ahmad Fauzi bin Mohamed, Perbandingan Akta Pelajaran 1961 Dengan Akta Pendidikan
MODUL GURU DAN CABARAN SEMASA di ambil daripada

www.researchgate.net/.../0a85e533452e2189a2000000?

Selasa, 3 November 2015

Tempat-Tempat Menarik Di sekitar Kuala Terengganu

Terengganu sememangnya terkenal dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik kerana mempunyai pandai dan pulau-pulau yang cantik. Antara pulau terkenal ialah Pulau Redang. jika anda melancong ke Terengganu, jangan lupa untuk singgah melawat tempat-tempat menarik sekitar Kuala Terengganu. Antaranya:

1. Muzium Negeri Terengganu

2. Masjid Kristal

3. Kampung Cina

4. Pasar Kedai Payang

5. Pantai Batu Buruk

6. Pulau Duyung

7. Taman Tamadun Islam

Sabtu, 3 Oktober 2015

PERANAN GURU BIASA SEBAGAI KAUNSELOR

Proses bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah  bukan hanya digalas oleh guru kaunseling sahaja namun semua pihak termasuk guru biasa juga terlibat secara langsung dalam proses bimbingan dan kaunseling pelajar. Selain itu, bukan semua sekolah yang mempunyai seorang guru kaunselor dalam sistem persekolahan. Justeru, kadang-kadang guru biasa juga menjalankan fungsi-fungsi sebagai guru bimbingan dan seorang kaunselor. Peranan guru-guru biasa adalah sangat penting kerana mereka mengenali murid-murid dalam bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan tingkah laku bermasalah semua murid-murid mereka. Menurut A. Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz (2009), guru perlu mempunyai sikap dan keperibadian sebagai kaunselor ataupun pembimbing kepada para pelajar memandangkan gurulah yang memainkan peranan yang besar dan penting alam membentuk pelajar yang baik dan berketerampilan. Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai kaunselor atau pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya.

Gambar Hiasan
            Antara peranan guru biasa sebagai kaunselor atau pembimbing ialah membantu dan membimbing pelajar mengatasi masalah yang dihadapi seperti masalah berkaitan dengan pembelajaran, sosioekonomi dan keluarga. Sebagai contoh, guru membimbing sekumpulan pelajar melaksanakan tugasan yang diberi sukar seperti latihan matematik dan akan memudahkan pelajar memahami dan menyelesaikan latihan tersebut. Dalam masalah sosial emosi seperti kecewa, bosan, dan sebagainya, guru perlu membimbing pelajar-pelajar berkenaan supaya dapat membina keyakinan diri semula dan menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif. Terdapat juga sesetengah kes pelajar menghadapi masalah keluarga seperti perceraian. Dalam hal ini, peranan guru diperlukan untuk menasihati dan berbincang dengan pelajar untuk mencari punca berlakunya masalah keluarga. Guru juga boleh membimbing pelajar sekiranya pelajar tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri. Dalam konteks ini, guru harus peka dan mengambil berat tentang setiap pergerakan dan tingkah laku pelajar. Sekiranya mendapati muri-murid menghadapi masalah, guru perlu membimbing mencari cara menyelesaikan maslah secara positif supaya masalah disiplin bilik darjah tidak wujud seperti tidak menumpukan perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, tidur dan sebagainya.

            Selain itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor adalah membantu mengembangkan kebolehan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar di sekolah mempunyai tahap kebolehan yang berlainan sama ada pelajar pintar, sederhana dan lemah. Menurut Ramlah Jantan dan Mahami Razali ( 2002 ) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu kepada sebelas aspek yang berlainan, iaitu fizikal, emosi, kecerdasan, sosial, budaya , personaliti, bakat, minat, latar belakang dan lain-lain. Justeru, guru memainkan peranan dalam membimbing dengan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan untuk mencabar pemikiran mental mereka. Hal ini akan menggalakkan pelajar lebih terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Dalam konteks ini, guru haruslah memberi peluang kepada murid-murid yang lebih lemah untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa disayangi dan akan melibatkan diri secara aktif semasa pengajaran dijalankan. Di dalam kelas, guru boleh menggunakan teknik atau kaeah menyoal, teknik peneguhan, serta memberi dorongan kepada para pelajar supaya kebolehan dapat dikembangkan. Kebolehan murid mestilah dikembangkan dengan seimbang dari semua aspek iaitu jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial.
                Di samping itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor ialah menolong pelajar membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu pelajar-pelajarnya menyesuaikan diri dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya. Penyesuaian ini berlaku secara langsung atau tidak langsung sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Hal ini demikian kerana supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan situasi baru yang mereka hadapi. Hal ini disebabkan semua pelajar mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya,  agama, kaum dan keluarga. Justeru, guru perlu memainkan peranan dalam membimbing pelajar dengan membiasakan mereka menghadapi situasi sebenar dengan memberi nasihat, motivasi serta kata-kata yang boleh meningkat semangat pelajar. Dalam konteks ini, guru perlu lebih memahami pelajarnya melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap sikap dan keadaan pelajar-pelajar di dalam bilik darjah.  Jika terdapat pelajar yang kelihatan murung, guru perlu mengambil tindakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sesuai.

            Peranan guru biasa sebagai kaunselor seterusnya membimbing pelajar membuat keputusan. Pengalaman yang dimiliki oleh guru berbanding dengan pelajar membolehkan guru lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru, guru perlu membimbing murid untuk membuat keputusan yang bijaksana dan rasional dalam pelbagai situasinya dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak kehilangan jalan dalam kehidupan. Dalam konteks ini, guru hanya memberi cadangan kepada murid, tetapi hak untuk membuat keputusan adalah berada di tangan pelajar tersebut. Selain itu, guru juga perlu memastikan keputusan yang dibuat oleh murid adalah berpandukan nilai-nilai moral, agama, terminal dan juga instrumental. Hal Ini disebabkan nilai-nilai adalah penting dalam memberikan panduan dalam kehidupan manusia. Guru-guru biasa juga boleh membantu murid-murid untuk memilih mata pelajaran -mata pelajaran yang mereka ingin belajar dan berkomunikasi dengan mereka secara kerap untuk berfikir tentang bidang-bidang kerjaya yang mereka akan ceburi pada masa depan kelak.

            Seterusnya, peranan guru biasa sebagai seorang kaunselor ialah membentuk tabiat kerja murid. Pembentukan tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan.

            Oleh itu, dapat dirumuskan guru biasa juga mempunyai peranan yang hampir sama dengan seorang kaunseling iaitu sikap pembimbing. Sememangnya sifat pembimbing ini dimiliki oleh seorang dalam membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru biasa juga harus memiliki kemahiran-kemahiran dalam proses membimbing agar dapat  menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dan memudahkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


PERANAN GURU KAUNSELING SEBAGAI KAUNSELOR

Gambar Hiasan

Guru kaunseling atau kaunselor sekolah memainkan peranan sebagai kaunselor di sekolah dalam memberi kaunseling kepada pelajar-pelajar yang bermasalah. Menurut Sapora Sipon, Kaunselor sekolah berperanan besar dalam agen pendidikan negara. Kaunselor sekolah dilihat sebagai agen utama dalam melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan harmonis seperti terkandung dalam falsafah pendidikan negara.  Bersesuaian dengan perubahan hidup yang dialami kebanyakan pelajar iaitu  mengalami perubahan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa, mereka amat memerlukan seorang pembimbing dalam meneruskan kehidupan. Menurut Muhd Mansur Abdullah & S. Nordinar Mohd Tamin (2010), murid-murid dikatakan berada di alam remaja. Mereka berada dalam alam peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Alam remaja memang banyak pancarobanya. Maka kaunselor di sekolah menengah rendah dan menengah atas wajib mengambil langkah yang wajar bagi membimbing para remaja ke jalan selamat dan diredai Allah SWT. Jika tidak, nescaya remaja yang bakal menjadi belia itu akan terpesong daripada landasan bangsa dan masyarakatnya. Kebanyakan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah seperti ponteng, peribadi, tekanan hidup dan sebagainya akan dibawa berjumpa dengan guru kaunseling untuk diadakan sesi kaunseling yang mengikut prosedur-prosedur tertentu. Guru kaunseling yang berada di sekolah telah dilatih khas untuk menjadi seorang kaunselor bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

            Antara peranan utama guru kaunseling atau kaunselor sekolah ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada pelajar. Dalam konteks ini, guru kaunseling ditugaskan menjadi kaunselor dan pelajar pula sebagai klien. Perkhidmatan kaunseling ini diadakan dengan kerelaan pelajar tersebut atau akan dibawa oleh guru-guru lain ke bilik kaunseling. Kebiasaan pelajar yang dibawa ke guru kaunseling ialah pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin seperti ponteng, merokok, buli dan sebagainya. Guru perlu menggunakan cara tersendiri dan prosedur tertentu dalam memberi kaunseling kepada pelajar yang mempunyai masalah. Dalam sesi kaunseling untuk menyelesaikan masalah pelajar, Guru kaunseling juga boleh menggunakan teori kecerdasan emosi dalam tugas untuk membimbing dan menyelesaikan masalah pelajar. Sememangnya emosi seseorang akan berlaku dalam tiga faktor iaitu persekitaran, keadaan fisiologikal dan proses kognitif. Menurut S. Schanter dan J.Singger (1962) emosi dipengaruhi oleh dua faktor iaitu stimuli iaitu timbul perubahan kognitif dan fisiologikal seseorang individu dan pentafsiran individu iaaitu perubahan perasaan diri. Justeru, melalui pemahaman teori ini sebagai guru kaunseling atau guru pembimbing dapat membantu dalam aspek memahami emosi pelajar, kebolehan mengurus emosi, kebolehan motivasi, mengurus hubungan dan sebagainya. Menurut Good (1945), kaunseling merupakan cara tersendiri dan peribadi dalam mendidik serta membantu seseorang, baik dari segi masalah pelajaran mahupun vokasional, apabila seseorang itu berasa sukar menganalisis atau menyelesaikannya dan memerlukan seorang pembantu yang baik yang khusus baik di sekolah mahupun alam masyarakat. Dalam memberi perkhidmatan kaunseling, kaunselor perlu mengamalkan prinsip-prinsip kaunseling iaitu manusia mempunyai harga diri, manusia itu unik, manusia yang memiliki personaliti yang bersepadu juga memiliki personaliti yang sihat, manusia cenderung ke arah kesempurnaan kendiri dan manusia berkembang melalui proses sosialisasi.

            Selain itu, tugas guru kaunseling adalah menolong pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungan dengan dunia sosial dan psikologi di persekitaran. Dalam konteks ini, seseorang guru kaunseling yang bertindak sebagai kaunselor berperanan membantu pelajar agar pelajar mampu mengenali siapa dirinya yang sebenar serta dapat membuat hubungan dengan dunia sekelilingnya dari sudut sosialisasi dan psikologi di mana ia berada. Kebanyakan pelajar sukar untuk memahami sikap, minat, bakat serta kebolehan yang terdapat pada diri kerana wujudnya kecelaruan dalam diri pada awal remaja. Justeru, guru kaunseling perlu membantu pelajar mencari dan memahami sikap, minat, bakat serta kebolehan yang ada pada diri klien untuk berkembang dengan baik, memahami serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien untuk berkembang dengan baik, memahami serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien hasil daripada perbincangannya dengan kaunselor untuk proses ke arah mencapai kesempurnaan kendiri serta hubungan antar kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan kendiri serta hubungan antara kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan kendiri sebagaimana yang diingini selaras dengan tuntutan agama dan masyarakat.

            Di samping itu, tugas seorang guru kaunseling juga ialah menolong pelajar untuk bertingkah laku yang sesuai dengan bakat, minat, sikap, kebolehan dan peluang untuk penyempurnaan kendiri. Kaunselor juga berperanan untuk membantu pelajar agar dapat membuat persediaan yang sesuai dengan minat dan bakat seta kebolehan yang dimiliki. Hal ini demikian kerana supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid adalah selaras dengan apa yang diingininya agar ia berpeluang untuk mencapai matlamat hidupnya ke arah penyempurnaan kendiri. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar itu mempunyai minat dan cita-cita dalam bidang jurutera, seseorang guru kaunseling atau kaunselor berperanan untuk memberikan panduan dan beberapa cadang yang sesuai dengan minat dan memberi panduan tentang mata pelajaran yang wajib dikuasai oleh pelajar tersebut. Melalui menolong pelajar dengan memberi panduan dan tunjuk ajar dapat memberi kekuatan terhdap tersebut dalam mengembangkan potensi diri. Menurut Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar (2006), hubungan menolong mempunyai elemen dua pihak iaitu yang menolong dan yang ditolong. Satu pihak memberi kekuatan dalaman dirinya untuk membolehkan mereka ditolong berkembang an tumbuh ke arah menggunakan sepenuh potensi diri. Secara tidak langsung menunjukkan seorang guru kaunseling atau kaunselor berperanan untuk membantu dan membimbing pelajar tersebut ke arah penyempurnaan kendiri berdasarkan apa yang diminati oleh pelajar.

            Seterusnya, tugas seorang guru kaunseling atau kaunselor sekolah adalah menentukan atau memastikan pengaruh program sekolah ke atas pelajaran perkembangan psikososial pelajar dan menyampaikan maklumat untuk kakitangan lain. Program-program yang dilaksanakan harus berbentuk memberi motivasi kepada pelajar untuk memberi rangsangan kepada supaya bersungguh-sungguh dalam mengejar pencapaian akademik. Selain itu, program-program yang berbentuk kerohanian juga perlu diadakan supaya dapat memberi sedikit keinsafan terhadap pelajar serta tidak melakukan perkara yang dilarang. Dalam konteks ini, kaunselor sekolah harus berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap program sekolah yang dilaksanakan akan mendatangkan faedah dan kesan baik kepada pelajar dari segi perkembangan psikososial. Hal ini menunjukkan bahawa setiap program yang dijalankan memerlukan penelitian yang teliti daripada kaunselor bermula dari tahap perancangan sehingga ke tahap pelaksanaan program-program tersebut.
            Selain itu, tugas seorang guru kaunseling ialah membantu ibu bapa untuk memahami kemajuan pengembangan anaknya, keperluan-keperluannya dan peluang-peluang lain di persekitarannya dengan tujuan untuk menambahkan kebolehan, memberi sumbangan kepada perkembangan anak mereka sendiri. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar mempunyai masalah disiplin, pihak guru kaunselor juga berhak untuk membantu ibu bapa dalam membimbing anak-anak mereka. Selain itu, pihak kaunselor sekolah juga perlu mengadakan sesi perjumpaan dengan ibu bapa pelajar untuk memberitahu perkembangan pembelajaran anak-anak mereka dari semasa ke semasa. Dalam hal ini,  Kaunselor berperanan besar untuk membantu ibu bapa untuk mereka mengetahui kemajuan perkembangan anaknya terutama dari segi sikap dan akademik,keperluan-keperluan yang diperlukan oleh anak-anak mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna serta membantu ibu bapa mendapatkan gambaran akan peluang yang bakal diperoleh sekiranya anak mereka berjaya kelak. Memahami kemajuan perkembangan anak,keperluan dan peluang perlu diperjelaskan kepada ibu bapa agar mereka tahu akan perihal anak mereka secara lebih dekat dan dengan ini mereka akan lebih berminat untuk membantu anak mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang sama ada dari segi kejayaan dalam peperiksaan atau perubahan sikap .

Oleh itu, tugas seorang guru kaunseling dilihat secara keseluruhan lebih kepada menyelesaikan masalah pelajar dan menangani konflik-konflik yang dihadapi pelajar. Dalam konteks ini, guru kaunseling mempunyai tugas yang penting kerana berperanan sebagai kaunselor utama di peringkat sekolah dan bertanggungjawab untuk mengadakan sesi kaunseling mengikut prosedur-prosedur proses kaunseling yang sebenar.