Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Selasa, 2 September 2014

PERANAN KOKURIKULUM DI SEKOLAH

PENGENALAN

Kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah juga turut memainkan peranan dalam melahirkan warganegara yang mempunyai nilai sivik dalam kehidupan seharian. Dalam sistem pendidikan negara, kokurikulum adalah pelengkap kepada kurikulum. Kokurikulum mempunyai peranan dan pengaruh sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan individu. Kokurikulum adalah kegiatan berkumpulan yang diadakan diuar bilik darjah atau diluar wwaktu pembelajaran yang memberi peluang kepada murid-murud untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum juga turut ditekan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988. Matlamat falsafah pendidikan kebangsaan adalah untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang, harmonis, bertanggungjawab, berketerampilan dan sebagainya. Kokurikulum merangkumi badan unit beruniform, kelab atau persatuan dan sukan permainan. Ketiga-ketiga elemen dalam kokurikulum ini berperanan dalam membantu melahirkan warganegara yang mempunyai nilali sivik dalam kehidupannya.

DEFINISI KOKURIKULUM
Menurut Kamus Dewan (2000) kokurikulum ialah merupakan sebahagian daripada kurikulum asas yang melibatkan kegiatan atau aktiviti. Selain mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah kokurikulum juga dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan misalnya kegiatan dalam persatuan dan kegitan sukan.
Kreps (2002) merumuskan terdapat banyak aktiviti berkaitan kokurikulum, antaranya banyak projek penyelidikan luar, peluang belajar ke luar negara, intership, projek khidmat masyarakat, penglibatan sebagai atlet, menghadiri sesuatu program atau pertandingan dan bekerja semasa dikampus. Ab. Alim Abdul Rahim (1999) mendefinisikan kokurikulum sebagai aktiviti yang berbentuk pendidikan yang dilaksankan diluar bilik darjah dan menyediakan pengalaman-pengalaman pengajaran komponen kokurikulum termasuklah badan berunitform, persatuan dan kelab, sukan dan permainan.
         Abd. Hamid Othman (1998) telah mengupas pengertian kokurikulum dalam konsep Islam. Menurutnya aktiviti kokurikulum perlu sesuai dengan ajaran Islam. Antara yang perlu wujud dalam kurikulum kokurikulum ialah berkaitan dengan tanggungjawab manusia menyubur dan memelihara alam, alam dan manusia dicipta oleh Allah, Allah amat berkuasa, manusia sama taraf di sisi Allah dan menjaga kebersihan menurut Islam.

PERANAN BADAN UNIT BERUNITFORM

Salah satu jenis kokurikulum yang mustahak terdapat di sekolah ialah badan berunitform. Badan berunitform ialah satu kumpulan yang terdiri daripada ganbungan keahlian dan mempunyai dasar-dasar tertentu untuk diikuti dan dipatuhi. Badan berunitform di sekolah merupakan satu pasukan yang wajid disertai oleh murid-murid sekolah. Ini berdasarkan warta kerajaan bertarikh  31 disember 1997 menyatakan mengenai penyertaan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum. Antara badan berunitform yang berada di sekolah ialah kadet polis. Kadet bomba, kadet remaja sekolah, pengakap, pandu puteri dan sebagainya. Banyak peranan yang dimainkan badan berunitform dalam membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan remaja atau pelajar.
Antara peranan badan unit berunitform ialah memupuk sikap berdisiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana peserta atau pelajar perlu patuh kepada peraturan dan arahan yang ditetapkan semasa mengikuti aktiviti berunitform. Sebagai contoh, ketika aktiviti kawad, setiap anggota perlu patuh kepada arahan ketua supaya memiliki rentak yang sama ketika bergerak. Sikat disiplin ini akan terbawa-bawa dan diaplikasikan oleh mereka dalam kehidupan sehingga tidak melanggar sesuatu peraturan dan sentiasa mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap diri dan orang lain. Justeru, seseorang yang berdisiplin akan memjadi seorang warganegara yang patuh kepada undang-undang negara dan tidak melakukan sebarang jenayah yang memalukan masyarakat dan negara.
Selain itu, antara peranan badan unit berunitform ialah mewujudkan kerjasama antara pelajar berlainan bangsa. Hal ini demikian kerana semasa aktiviti dijalankan pelajar berlainan bangsa dapat bertolenrasi, tolong menolong dan berkerjasama untuk menjayakan sesuatu aktiviti seperti kawad, perkhemahan dan sebagainya. Ahli unit berunitform juga bukan melaksanakan aktiviti di dalam sekolah sahaja tetapi terus bergabung dengan sekolah lain diperingkat daerah, negeri dan antarabangsa. Melalui aktiviti ini, anggota berunitform berpeluang untuk berinteraksi dengan anggota sekolah lain, negeri lain bahkan anggota negara lain sehingga tejalin hubungan mesra antara remaja. Sikap ini akan dapat dibawa oleh mereka untuk dilaksanakan dalam kehidupan supaya sentiasa menghormati bangsa atau agama lain, bertolenrasi, tolong-menolong dan sebagainya.
Seterusnya, peranan badan berunitform ialah mengajar remaja untuk  berdikari. Hal ini demikian kerana anggota-anggota badan berunitform banyak didedahkan dengan aktiviti-aktiviti luar yang banyak memerlukan kemahiran seseorang berdikari. Sebagai contoh, melalui aktiviti perkhemahan yang dilakukan anggota dapat belajar memasak, mencari bahan-bahan, berusaha untuk mendapat sesuatu dengan sendirinya. Sikap berdikari ini harus diterapkan dalam setiap orang remaja agar tidak hanya bergantung kepada orang lain dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Seterusnya, peranan badan unit berunitform dalam kokurikulum adalah untuk melatih seseorang untuk mempunyai sikap kepemimpinan. Hal ini demikian kerana dalam unit berunitform, sebilangan anggota telah dilantik sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi dalam organisasi badan unit berunitform sebagai pengerusi, setiausaha, bendehari dan jawatan-jawatan lain. Melalui kepimpinan dalam organisasi tersebut, pelajarkan diasah sebagai insanyang bertanggungjawab, amanah, dedikasi dan berupaya memimpin organisasi. Pengalaman yang diperolehi pelajar semasa menjadi pemimpin itu akan digunakan dalam kehidupan mereka apabila ingin menjadi pemimpin sesuatu organisasi.

PERANAN KELAB DAN PERSATUAN
Kelab dan persatuan merupakan salah satu elemen yang terdapat dalam kokurikulum di sekolah. Kelab dan persatuan ialah sesuatu entiti kumpulan yang berstruktur, berpelembagaan, berperaturan dan berkepimpinan yang dianggotai oleh murid-murid sekolah yang mempunyai minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan yang sama serta bertujuan untuk saling bekerjasama, bantu-membantu dan berkongsi sumber dalam melaksanakan aktiviti dan mencapai ciat-cita serta matlamat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama bagi memperkembangkan minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan masing-masing. Banyak peranan kelab dan persatuan disekolah dalam melahirkan warganegara yang mempunyai nilai sivik dalam kehidupannya.
Antara peranan kelab dan persatuan ialah memyemai kesedaran kepada agama dan kepercayaan kepada tuhan. Kesedaran kepada agama dan kepercayaan kepada tuhan yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara merupakan salah satu matlamat dalam aktiviti kokurikulum. Oleh itu, melalui aktiviti-aktiviti kelab dan persatuan seperti aktiviti kerohanian, pemantapan minda, ceramah dan sebagainya. Sebagai contoh, persatuan pendidikan islam di sekolah-sekolah banyak mengadakan aktiviti-aktiviti berunsur kerohanian seperti pemantapan solat, ceramah agama serta motivasi yang banyak memberi manfaat kepada murid-murid. Melalui aktiviti tersebut, murid akan mengamal setiap ilmu-ilmu agama yang dipelajari dalam kehidupan mereka.
Disamping itu, peranan kelab dan persatuan di sekolah ialah menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana aktiviti kelab dan persatuan banyak melibatkan aktiviti pengukuhan dan penambahan nilai sivik dalam dalam diri seseorang pelajar melalui pelbagai aktiviti-aktiviti luar. Melalui kepelbagaian persatuan yang ditubuh yang berasaakan kepada mata pelajaran yang diajar di sekolah, hobi dan reakresi serta apa-apa perstuan lain yang diluluskan pihak sekolah berupaya memberi manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan disiplin dan perpaduan, membina pengetahuan, minat dan bakat, membentuk sahsiah dan perpaduan dan sebagainya.
Disamping itu, kelab dan persatuan berperanan menyemai semangat nilai cintakan tanah air. Sebagai contoh, persatuan sejarah yang ditubuhkan di sekolah dapat memberi lebih pengetahuan serta penghayatan kepada pelajar untuk melahirkan sikap cintakan tanah air dan tidak melupakan sejarah negara. Melalui aktiviti yang dilaksanakan dalam persatuan tersebut seperti melawat tempat-tempat bersejarah, muzium dan arkib negara dapat menambah pengetahuan dan menyemai sikap cintakan tanah air serta tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah negara di mata dunia. Justeru, pelaksanaan kokurikulum perlulah dilaksanakan dengan terangcang dan sistematik dengan aktiviti-aktiviti menarik dan mendapat banyak manfaat.
Seterusnya, kelab dan persatuan berperanan untuk menyemai sikap cintakan alam sekitar kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab dan persatuan seperti gotong-royong, kempen kitar semula serta ceramah kesedaran dapat menyemai perasaan tersebut. Disamping itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juge telah memperkenalkan Kelab Pencinta Alam Sekita yang disasarkan untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah. Antara objektif kelab ini adalah untuk menyediakan struktur organisasi bagi para pelajar untuk membangunkan serta mendalami minat mereka dalam pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar. Selain itu, mengalakkan dan menunjuk arah kepada pelajar mengenai jenis aktiviti yang boleh dilakukan oleh mereka dalam menanamkan semangat cintakan alamm sekitar. Oleh itu, penglibatan murid-murud dalam kelab tersebut dapat menyemai sikap cintakan alam sekitar seterusnya akan diaplikasi dalam kehidupan mereka.
Seterusnya, peranan kelab dan persatuan ialah dapat mengembangkan potensi mereka untuk mengapilikasikan kemahiran yang dipelajari dalam bidang bekaitan untuk diaplikasikan d dalam aktiviti persatuan seperti aktiviti kuiz, perbahasan dan pidato. Sebagai contoh, aktiviti kuiz dalam persatuan memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan. Aktiviti perbahasan dan pidato pula memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan kemahiran bahasa dalam memnegeluarkan hujah dan keupayaan berfikir untuk memantapkan hujah dengan menggunakan fakta dan kemahiran berfikir. Melalui aktiviti ini wujudnya sikap berusaha, berani dan yakin dalam menunjukkan bakat mereka. Oleh itu, sikap tersebut akan dapat dilaksanakan dalam kehidupan harian mereka.

PERANAN SUKAN DAN PERMAINAN


Sukan dan permainan juga merupakan salah satu aspek penting dalam kokurikulum. Semua pelajar diwajibkan menyertai salah satu jenis sukan yang terdapat di sekolah. Kerajaan juga telah memperkenalkan dasar 1murid 1sukan kerana menyedari kepentingan sukan dengan mewajibkan setiap orang murid menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Banyak peranan yang dimainkan dalam aktiviti sukan dan permainan di sekolah dalam membentuk nilai sivik dalam kalangan remaja.
Antara peranan sukan dan permainan ialah dapat meningkatkan disiplin seseorang pelajar. Hal ini demikian kerana seseorang yang ingin berjaya dalam bidang sukan perlulah mempunyai disiplin yang tinggi dan sentiasa mematuhi peraturan permainan. Sebagai contoh, setiap pemain dalam sesebuah pasukan hendaklah sentiasa menepati masa, bertanggungjawab, rajin berlatih, tidak merokok dan sentiasa mematuhi arahan jurulatih. Di sekolah, pelajar dididik dengan penuh ketegasan agar dapat melakukan sesuatu permaian dengan bersungguh-sungguh dan betul. Sehubungan dengan itu, sikap disiplin secara tidak lansung dapat diterapkan ke dalam diri pemain tersebut.
Selain itu, peranan sukan dan permainan ialah melatih pelajar supaya sentiasa berfikiran positif. Hal ini demikian kerana dengan aktif bersukan seseorng itu dapat berfikiran secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa. Contohnya, dalam permainan badminton seseorang pemain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang tanpa mengira penat dan letih seta mempunyai keyakinan tinggi untuk menang. Disamping itu,  pemain juga di terapkan sikap tidak akan berputus asa walaupun gagal dalam sesuatu permainan serta terus berfikiran positif untuk berjaya. Oleh itu, pemikiran positif ini akan dapat menjadikan seseorang lebih dewasa dan setiasa berfikiran terbuka pada masa akan datang.

KESIMPULAN
Kokurikulum dilihat sebagai medium serta wadah terbaik bagi penerapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kegiatan kokurikulumamat penting dalam usaha melahirkangenerasi yang berkualiti dan cemerlangdalam semua aspek mengikut acuan Malaysia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, warganegara yang berilmu,bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berbakti. Pembangunan pelajar yang menekankan aspek-aspek tersebut merupakan salah satu elemen pentingdalam usaha membangunkan mutu pendidikan negara serta melaksanakan wawasan negara.Menyedari hakikat ini, tindakan yang proaktif perlu diambil dengan menggubal dasar pendidikan danmerangka kurikulum dan kokurikulum yang lebih holistik agar konsep untuk membina modal insan yang mempunyaikeseimbangan sahsiah diri dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Ab. Alim Abdul Rahim (1999) turut menyenaraikan beberapa kesan positif ke atas pelajar daripada kegiatan kokurikulum, antara yang mempunyai kaitan dengan kemahiran generik ialah mengawal diri, tolong-menolong, bertanggungjawab, bertimbang rasa, bertolak ansur, bercita-cita, menjaga kebersihan, mempunyai keyakinan diri, berfikiran tajam, rasional, berkemahiran, berdikari dan berkreatif.



RUJUKAN
Ab. Alim Abdul Rahim (1999). Pengurusan Kokurikulum. Kuala Lumpur: Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
 Abd. Hamid Othman (1998). Aktiviti Ko-Kurikulum Dalam Konteks
KeIslaman. Kertas Kerja Koleksi Arkib Negara Malaysia. Kuala Lumpur:
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri