Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Memaparkan catatan dengan label Info Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info Pendidikan. Papar semua catatan

Ahad, 18 Januari 2015

PROSES PEMBENTUKAN AKTA PENDIDIKAN 1996



Sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, para pemimpin bersama-sama bersetuju untuk menentukan hala tuju kita sendiri. Bidang pendidikan merupakan salah satu bidang yang diberi tumpuan dalam menentukan hala tuju masa depan negara. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta pelajaran 1961. Akta pelajaran Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Namun, pada masa kini Akta Pendidikan 1996 dijadikan rujukan untuk digunakan dalam sistem Pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan Merupakan Lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 yang bertujuan untuk memantapkan serta mengemaskinikan sistem pendidikan kebangsaan seiring dengan kehendak dan cita-cita negara Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. selain itu, akta ini juga menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada. Sehubungan itu, akta ini sangat berkaitan dengan perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan.
            Seperti yang telah diketahui sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia telah ditadbir selama 35 tahun di bawah peruntukan Akta pelajaran 1961. Akta ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan peruntukan yang didapati dalam Akta Pendidikan 1944 di England. Secara amnya, akta pelajaran 1961 adalah berdasarkan kepada cadangan=cadangan yang dikemukakan oleh Laporan Penyata Razak 1956. Kandungan utama yang terkandung dalam laporan tersebut adalah pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, Akta Pelajaran 1961 telah digubal yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu. Akta ini adalah merupakan satu akta yang akan mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak  kebangsaan yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, penggunaan kurikulum yang sama di semua sekolah dan pengambilan peperiksaan awan yang sama oleh semua murid. Hal ini demikian kerana untuk mewujudkan satu bentuk identiti kebangsaan yang menyumbang ke arah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
            Akta pelajaran 1961 sememangnya sesuai pada sekitar tahun 50-an dan 60-an kerana pada ketika itu negara baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dasar pendidikan ketika itu berasaskan kepada penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) (Mohd.Ismail Othman, 2008). Unsur utama dalam  Akta Pelajaran 1961 adalah seperti memperkukuh sistem pentadbiran pendidikan melalui pelantikan pegawai utama (seksyen 3-8), menyediakan suatu rangka sistem pendidikan kebangsaan yang lebih kukuh (seksyen 19-24), mewajibkan pendaftaran semua sekolah dan institusi pendidikan (seksyen 44-52) dan pendaftaran guru (seksyen 74-88) dan seterusnya menggariskan tugas dan kuasa jemaah Nazir sekolah (seksyen 96-103). Menurut Tie Fatt Hee, 2002, cabaran yang di hadapi dalam sistem pendidikan kebangsaan ketika itu boleh dirumuskan dalam bahagian awal akta pelajaran 1961. Polisi pendidikan adalah seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 iaitu membentuk sistem pendidikan kebangsaan yang memenuhi keperluan negara dan dapat memperkembangkan budaya, sosial, ekonomi dan politik.
            Salah satu daripada sistem pendidikan yang jelas dan spesifik apabila cadangan Laporan Rahman Talib 1960 diterima dan diluluskan Parlimen dalam bentuk Akta pelajaran 1961 ialah aspek pemusatan. Sehubungan itu, Menteri Pelajaran telah memperoleh autoriti yang signifikan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajaran. Menteri pelajaran tersebut bertanggungjawab dalam menguruskan segala pentadbiran pendidikan negara seprti dipersetujui Parlimen.  Penggubalan Akta Pelajaran 1961 juga bukan digubal dengan sewenang-wenangnya, namun lebih kepada penelitian laporan-laporan pendidikan yang dibuat pada sebelumnya seperti Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Seterusnya Penyata Razak tersebut disemak semula oleh Jawatankuasa Penyemak yang diketuai oleh Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Encik Abdul Rahman Talib pada tahun 1960 bertujuan untuk memantapkan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru, kesemua perkara yang diterima daripada Laporan Razak dan perakuan yang dibuat dalam Jawatankuasa Penyemak 1960 ini digabungkan ke dalam suatu peruntukan undang-undang pelajaran yang kemudiannya dinamakan Akta Pelajaran 1961. Selain itu pada tahun 1989, sistem pendidikan negara telah melangkah ke satu tahap apabila Falsafah Pendidikan Negara diperkenalkan secara bertulis semasa di bawah Menteri Pendidikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Falsafah ini menitik beratkan pembinaan potensi individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sejajar dengan aspirasi negara dan kepatuhan kepada Tuhan.     

            Memasuki zaman globalisasi dalam bidang ekonomi, sains, teknologi serta maklumat menampakkan persekitaran yang baru dan memberi cabaran dan kesan kepada masyarakat dan negara. Di samping itu, negara juga sedang berusaha keras untuk mencapai matlamat negara maju menjelang tahun 2020 pada masa yang sama. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan dalam sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan merupakan peranan penting bagi mencapai hasrat tersebut. Sistem pendidikan kebangsaan mesti dimantapkan dan penggubalan undang-undang baru hendaklah sesuai bagi mencapai hasrat dan cita-cita negara. Akta yang diguna pakai ketika itu iaitu Akta Pelajaran 1961 dilihat tidak sesuai lagi untuk digunakan walaupun berjaya mencapai beberapa objektif. Walau bagaimanapun, disebabkan negara ini ingin memenuhi tuntutan masa dalam zaman globalisasi serta hendak mencapai wawasan 2020, satu perundangan yang lebih sesuai perlu diwujudkan bagi bersaing dengan negara-negara maju.
            Menurut Mohd. Ismail Othman, 2008, semasa Menteri Pendidikan membentangkan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 pada bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan Rang Undang-undang Pendidikan itu adalah yang baru, menyeluruh, lengkap dan kemas kini bagi menggantikan Akta Pelajaran 1961 yang akan dimansuhkan dengan berkuat kuasanya Akta Pendidikan yang baru. Satu Akta Baru iaitu Akta Pendidikan 1996 atau juga dikenali sebagai Akta 550 telah diwujudkan untuk mengadakan peruntukan undang-undang bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini diwujudkan bertujuan untuk memantapkan sistem pendidikan untuk generasi yang akan datang sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bertaraf dunia. Walaupun Akta Pendidikan 1996 adalah akta baru, tetapi masih mempunyai kesinambungan kepada dasar pendidikan yang sedia ada.
            Penggubalan Akta 1996 mengambil masa selama enam tahun dan dipengerusikan oleh tiga Menteri Pendidikan. Jawatankuasa peringkat menteri mengkaji dan meneliti rang undang-undang secara terperinci sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Ketika proses penggubalan rang undang-undang itu, pandangan diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan pendidikan, sosial, agama, politik serta orang perseorangan. Pada bulan Ogos dan september, Majlis Perundingan Akta Pendidikan yang terdiri daripada 81 orang ahli daripada pelbagai pertubuhan bersidang bagi memberi pandangan dan cadangan bagi memantapkan rang undang-undang tersebut. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, apabila Rang Undang-undang Pendidikan dibentangkan pada 18 september menyebut bahawa perundangan itu adalah satu rang undang-undang yang baru dan bukan pindaan daripada Akta Pelajaran1961.
            Kesannya, Bermulanya pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 telah merubah lanskap baru terhadap sistem pendidikan negara dengan menuju ke peringkat yang lebih tinggi. Akta Pendidikan 1996 yang dilaksanakan telah digubal berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan ini adalah berpaksikan kepada perakuan-perakuan Penyata Razak dan laporan Rahman Talib. Sehubungan itu, Konsep pengetahuan telah menjadi asas utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Perkembangan pesat dalam semua bidang seperti bidang sains, teknologi maklumat dan peranan signifikan internet memerlukan seseorang individu itu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang relevan untuk mengekalkan status dan daya saing. Sekarang, Akta Pendidikan 1996 masih diguna pakai dalam sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat negara maju tahun 2020.

            

Rabu, 7 Januari 2015

GURU SEBAGAI ROLE MODEL

Gambar hiasan


Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Pertama sekali, saya ingin membincangkan serba sedikit tentang guru adalah seorang' role  model'. Sememang guru merupakan antara individu paling dekat dengan murid-murid selain daripada ibu bapa serta setiap perbuatan guru mudah untuk diikuti oleh murid-murid. Justeru, guru perlu menunjukkan etika yang baik supaya dapat diikuti oleh murid-murid.

            Antara amalan yang sepatutnya para guru laksanakan untuk meningkatkan etika tersebut ialah sentiasa berdisiplin dalam melakukan setiap pekerjaan. Sebagai contoh, guru haruslah sentiasa mematuhi peraturan dan etika-etika dalam perkhidmatan serta tidak melakukan perkara-perkara negatif. Selain itu, guru juga perlu menunjukkan sikap-sikap yang baik semasa proses pengajaran dan pembelajaran seperti tidak menggunakan kata-kata kesat terhadap murid-murid. Hal ini akan menyebabkan murid-murid akan menghormati guru tersebut dan secara tidak langsung mengikuti perbuatan guru.

            Selain itu, antara amalan yang sepatutnya dilaksanakan ialah guru perlu menanam sikap kepimpinan dalam diri. Hal ini demikian kerana guru hendaklah sentiasa memberi nasihat,  memantau dan membimbing serta sentiasa menerapkan nilai-nilai yang baik terhadap murid-murid. Sebagai contoh, guru perlu memberi nasihat dengan baik kepada murid-murid agar murid-murid dapat menerima dengan ikhlas tanpa wujudnya perasaan dendam. Hal ini jelas menunjukkan guru mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik yang akan dijadikan teladan kepada murid-murid secara tidak langsung.

            Di samping itu, guru juga perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang. Hal ini demikian kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu menyelit sedikit pengetahuan-pengetahuan am terhadap murid-murid dan mudah untuk membalas setiap pertanyaan murid-murid. Oleh itu, murid-murid akan menjadi kagum terdapat guru serta akan menghormati guru tersebut dan mengikuti arahannya.

            Kesimpulannya, sebagai role model guru-guru perlu mempunyai sikap-sikap atau nilai-nilai yang baik untuk diikuti oleh murid-murid.



Selasa, 4 November 2014

SEJARAH PENDIDIKAN NEGARA



Sebelum pengenalan dan penggunaan Akta pendidikan 1996, sistem pendidikan negara telah berkembang sejak dahulu lagi dengan menggunakan pelbagai sistem mengikut peredaran masa. Sistem pendidikan negara telah mengalami evolusi penting yang sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui beberapa peringkat iaitu zaman pra merdeka, zaman pasca merdeka, zaman ekonomi baru, zaman dasar pembangunan negara dan zaman dasar wawasan negara.

Pada zaman pra merdeka iaitu semasa pemerintah British, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dibahagikan kepada empat aliran, iaitu Sekolah Inggeris, sekolah Melayu, Sekolah Tamil dan Sekolah Cina. Setiap sekolah mempunyai bahasa pengantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza. Namun menjelang kemerdekaan, wujud kesedaran di kalangan pemerintah dan masyarakat untuk mewujudkan satu sistem persekolahan yang lebih teratur. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat penilaian terhadap sistem persekolahan pada masa itu dan seterusnya menghasilkan laporan-laporan seperti Laporan Barnes(1951, Laporan Fenn-Wu(1951, Ordinan Pelajaran(1952) dan Laporan Razak(1956).

                Pada zaman pasca merdeka iaitu zaman selepas merdeka, pelbagai usaha yang dilakukan untuk mewujudkan sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 telah digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semual oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan. Selain itu, dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma kepada semua pelajar.



                Pada zaman Dasar Ekonomi Baru merupakan zaman pembangunan yang menekankan keseimbangan antar pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh tersebut, pendidikan diberikan keutamaan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama rata untuk semua kaum. Dalam masa yang sama juga Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar utama sepenuhnya di peringkat menengah di seluruh negara. Selain itu, Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua turut dijadikan tumpuan. Namun begitu, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Tamil atau bahasa Cina sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan telah dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet dan telah membuat cadangan pendekatan dan strategi baru bagi memantapkan sistem pendidikan negara. Sehubungan dengan itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperkukuhkan masa depan dan matlamat pendidikan negara.
                Pada tahun 1991 hingga 2000 iaitu pada zaman Dasar Pembangunan Negara berlaku perubahan pesat dalam sistem pendidikan negara. Hal ini demikian kerana berlaku banyak penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara seperti Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan sebagainya. Di samping itu, banyak lagi perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara seperti peningkatan akses, perkembangan ICT, menaiktarafkan kelayakan guru, menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan sebagainya.



                Pada zaman Dasar wawasan Negara pula Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkukuh searas dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dengan mengambil kura pelbagai perubahan dan cabaran pada abad ini. Penambahbaikan dan pengukuhan sistem pendidikan dapat diperlihatkan dalam perundangan. Dasar dan program utama seperti Akta Pendidikan 1996, Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Program j-QAF dan banyak lagi. Perubahan paling ketara dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Malaysia (KPTM) pada tahun 2004 yang ditugaskan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menegah, matrikulasi dan pendidikan guru.