Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Sabtu, 3 Oktober 2015

PERANAN GURU BIASA SEBAGAI KAUNSELOR

Proses bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah  bukan hanya digalas oleh guru kaunseling sahaja namun semua pihak termasuk guru biasa juga terlibat secara langsung dalam proses bimbingan dan kaunseling pelajar. Selain itu, bukan semua sekolah yang mempunyai seorang guru kaunselor dalam sistem persekolahan. Justeru, kadang-kadang guru biasa juga menjalankan fungsi-fungsi sebagai guru bimbingan dan seorang kaunselor. Peranan guru-guru biasa adalah sangat penting kerana mereka mengenali murid-murid dalam bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan tingkah laku bermasalah semua murid-murid mereka. Menurut A. Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz (2009), guru perlu mempunyai sikap dan keperibadian sebagai kaunselor ataupun pembimbing kepada para pelajar memandangkan gurulah yang memainkan peranan yang besar dan penting alam membentuk pelajar yang baik dan berketerampilan. Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai kaunselor atau pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya.

Gambar Hiasan
            Antara peranan guru biasa sebagai kaunselor atau pembimbing ialah membantu dan membimbing pelajar mengatasi masalah yang dihadapi seperti masalah berkaitan dengan pembelajaran, sosioekonomi dan keluarga. Sebagai contoh, guru membimbing sekumpulan pelajar melaksanakan tugasan yang diberi sukar seperti latihan matematik dan akan memudahkan pelajar memahami dan menyelesaikan latihan tersebut. Dalam masalah sosial emosi seperti kecewa, bosan, dan sebagainya, guru perlu membimbing pelajar-pelajar berkenaan supaya dapat membina keyakinan diri semula dan menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif. Terdapat juga sesetengah kes pelajar menghadapi masalah keluarga seperti perceraian. Dalam hal ini, peranan guru diperlukan untuk menasihati dan berbincang dengan pelajar untuk mencari punca berlakunya masalah keluarga. Guru juga boleh membimbing pelajar sekiranya pelajar tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri. Dalam konteks ini, guru harus peka dan mengambil berat tentang setiap pergerakan dan tingkah laku pelajar. Sekiranya mendapati muri-murid menghadapi masalah, guru perlu membimbing mencari cara menyelesaikan maslah secara positif supaya masalah disiplin bilik darjah tidak wujud seperti tidak menumpukan perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, tidur dan sebagainya.

            Selain itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor adalah membantu mengembangkan kebolehan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar di sekolah mempunyai tahap kebolehan yang berlainan sama ada pelajar pintar, sederhana dan lemah. Menurut Ramlah Jantan dan Mahami Razali ( 2002 ) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu kepada sebelas aspek yang berlainan, iaitu fizikal, emosi, kecerdasan, sosial, budaya , personaliti, bakat, minat, latar belakang dan lain-lain. Justeru, guru memainkan peranan dalam membimbing dengan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan untuk mencabar pemikiran mental mereka. Hal ini akan menggalakkan pelajar lebih terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Dalam konteks ini, guru haruslah memberi peluang kepada murid-murid yang lebih lemah untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa disayangi dan akan melibatkan diri secara aktif semasa pengajaran dijalankan. Di dalam kelas, guru boleh menggunakan teknik atau kaeah menyoal, teknik peneguhan, serta memberi dorongan kepada para pelajar supaya kebolehan dapat dikembangkan. Kebolehan murid mestilah dikembangkan dengan seimbang dari semua aspek iaitu jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial.
                Di samping itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor ialah menolong pelajar membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu pelajar-pelajarnya menyesuaikan diri dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya. Penyesuaian ini berlaku secara langsung atau tidak langsung sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Hal ini demikian kerana supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan situasi baru yang mereka hadapi. Hal ini disebabkan semua pelajar mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya,  agama, kaum dan keluarga. Justeru, guru perlu memainkan peranan dalam membimbing pelajar dengan membiasakan mereka menghadapi situasi sebenar dengan memberi nasihat, motivasi serta kata-kata yang boleh meningkat semangat pelajar. Dalam konteks ini, guru perlu lebih memahami pelajarnya melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap sikap dan keadaan pelajar-pelajar di dalam bilik darjah.  Jika terdapat pelajar yang kelihatan murung, guru perlu mengambil tindakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sesuai.

            Peranan guru biasa sebagai kaunselor seterusnya membimbing pelajar membuat keputusan. Pengalaman yang dimiliki oleh guru berbanding dengan pelajar membolehkan guru lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru, guru perlu membimbing murid untuk membuat keputusan yang bijaksana dan rasional dalam pelbagai situasinya dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak kehilangan jalan dalam kehidupan. Dalam konteks ini, guru hanya memberi cadangan kepada murid, tetapi hak untuk membuat keputusan adalah berada di tangan pelajar tersebut. Selain itu, guru juga perlu memastikan keputusan yang dibuat oleh murid adalah berpandukan nilai-nilai moral, agama, terminal dan juga instrumental. Hal Ini disebabkan nilai-nilai adalah penting dalam memberikan panduan dalam kehidupan manusia. Guru-guru biasa juga boleh membantu murid-murid untuk memilih mata pelajaran -mata pelajaran yang mereka ingin belajar dan berkomunikasi dengan mereka secara kerap untuk berfikir tentang bidang-bidang kerjaya yang mereka akan ceburi pada masa depan kelak.

            Seterusnya, peranan guru biasa sebagai seorang kaunselor ialah membentuk tabiat kerja murid. Pembentukan tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan.

            Oleh itu, dapat dirumuskan guru biasa juga mempunyai peranan yang hampir sama dengan seorang kaunseling iaitu sikap pembimbing. Sememangnya sifat pembimbing ini dimiliki oleh seorang dalam membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru biasa juga harus memiliki kemahiran-kemahiran dalam proses membimbing agar dapat  menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dan memudahkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


PERANAN GURU KAUNSELING SEBAGAI KAUNSELOR

Gambar Hiasan

Guru kaunseling atau kaunselor sekolah memainkan peranan sebagai kaunselor di sekolah dalam memberi kaunseling kepada pelajar-pelajar yang bermasalah. Menurut Sapora Sipon, Kaunselor sekolah berperanan besar dalam agen pendidikan negara. Kaunselor sekolah dilihat sebagai agen utama dalam melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan harmonis seperti terkandung dalam falsafah pendidikan negara.  Bersesuaian dengan perubahan hidup yang dialami kebanyakan pelajar iaitu  mengalami perubahan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa, mereka amat memerlukan seorang pembimbing dalam meneruskan kehidupan. Menurut Muhd Mansur Abdullah & S. Nordinar Mohd Tamin (2010), murid-murid dikatakan berada di alam remaja. Mereka berada dalam alam peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Alam remaja memang banyak pancarobanya. Maka kaunselor di sekolah menengah rendah dan menengah atas wajib mengambil langkah yang wajar bagi membimbing para remaja ke jalan selamat dan diredai Allah SWT. Jika tidak, nescaya remaja yang bakal menjadi belia itu akan terpesong daripada landasan bangsa dan masyarakatnya. Kebanyakan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah seperti ponteng, peribadi, tekanan hidup dan sebagainya akan dibawa berjumpa dengan guru kaunseling untuk diadakan sesi kaunseling yang mengikut prosedur-prosedur tertentu. Guru kaunseling yang berada di sekolah telah dilatih khas untuk menjadi seorang kaunselor bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

            Antara peranan utama guru kaunseling atau kaunselor sekolah ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada pelajar. Dalam konteks ini, guru kaunseling ditugaskan menjadi kaunselor dan pelajar pula sebagai klien. Perkhidmatan kaunseling ini diadakan dengan kerelaan pelajar tersebut atau akan dibawa oleh guru-guru lain ke bilik kaunseling. Kebiasaan pelajar yang dibawa ke guru kaunseling ialah pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin seperti ponteng, merokok, buli dan sebagainya. Guru perlu menggunakan cara tersendiri dan prosedur tertentu dalam memberi kaunseling kepada pelajar yang mempunyai masalah. Dalam sesi kaunseling untuk menyelesaikan masalah pelajar, Guru kaunseling juga boleh menggunakan teori kecerdasan emosi dalam tugas untuk membimbing dan menyelesaikan masalah pelajar. Sememangnya emosi seseorang akan berlaku dalam tiga faktor iaitu persekitaran, keadaan fisiologikal dan proses kognitif. Menurut S. Schanter dan J.Singger (1962) emosi dipengaruhi oleh dua faktor iaitu stimuli iaitu timbul perubahan kognitif dan fisiologikal seseorang individu dan pentafsiran individu iaaitu perubahan perasaan diri. Justeru, melalui pemahaman teori ini sebagai guru kaunseling atau guru pembimbing dapat membantu dalam aspek memahami emosi pelajar, kebolehan mengurus emosi, kebolehan motivasi, mengurus hubungan dan sebagainya. Menurut Good (1945), kaunseling merupakan cara tersendiri dan peribadi dalam mendidik serta membantu seseorang, baik dari segi masalah pelajaran mahupun vokasional, apabila seseorang itu berasa sukar menganalisis atau menyelesaikannya dan memerlukan seorang pembantu yang baik yang khusus baik di sekolah mahupun alam masyarakat. Dalam memberi perkhidmatan kaunseling, kaunselor perlu mengamalkan prinsip-prinsip kaunseling iaitu manusia mempunyai harga diri, manusia itu unik, manusia yang memiliki personaliti yang bersepadu juga memiliki personaliti yang sihat, manusia cenderung ke arah kesempurnaan kendiri dan manusia berkembang melalui proses sosialisasi.

            Selain itu, tugas guru kaunseling adalah menolong pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungan dengan dunia sosial dan psikologi di persekitaran. Dalam konteks ini, seseorang guru kaunseling yang bertindak sebagai kaunselor berperanan membantu pelajar agar pelajar mampu mengenali siapa dirinya yang sebenar serta dapat membuat hubungan dengan dunia sekelilingnya dari sudut sosialisasi dan psikologi di mana ia berada. Kebanyakan pelajar sukar untuk memahami sikap, minat, bakat serta kebolehan yang terdapat pada diri kerana wujudnya kecelaruan dalam diri pada awal remaja. Justeru, guru kaunseling perlu membantu pelajar mencari dan memahami sikap, minat, bakat serta kebolehan yang ada pada diri klien untuk berkembang dengan baik, memahami serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien untuk berkembang dengan baik, memahami serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien hasil daripada perbincangannya dengan kaunselor untuk proses ke arah mencapai kesempurnaan kendiri serta hubungan antar kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan kendiri serta hubungan antara kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan kendiri sebagaimana yang diingini selaras dengan tuntutan agama dan masyarakat.

            Di samping itu, tugas seorang guru kaunseling juga ialah menolong pelajar untuk bertingkah laku yang sesuai dengan bakat, minat, sikap, kebolehan dan peluang untuk penyempurnaan kendiri. Kaunselor juga berperanan untuk membantu pelajar agar dapat membuat persediaan yang sesuai dengan minat dan bakat seta kebolehan yang dimiliki. Hal ini demikian kerana supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid adalah selaras dengan apa yang diingininya agar ia berpeluang untuk mencapai matlamat hidupnya ke arah penyempurnaan kendiri. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar itu mempunyai minat dan cita-cita dalam bidang jurutera, seseorang guru kaunseling atau kaunselor berperanan untuk memberikan panduan dan beberapa cadang yang sesuai dengan minat dan memberi panduan tentang mata pelajaran yang wajib dikuasai oleh pelajar tersebut. Melalui menolong pelajar dengan memberi panduan dan tunjuk ajar dapat memberi kekuatan terhdap tersebut dalam mengembangkan potensi diri. Menurut Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar (2006), hubungan menolong mempunyai elemen dua pihak iaitu yang menolong dan yang ditolong. Satu pihak memberi kekuatan dalaman dirinya untuk membolehkan mereka ditolong berkembang an tumbuh ke arah menggunakan sepenuh potensi diri. Secara tidak langsung menunjukkan seorang guru kaunseling atau kaunselor berperanan untuk membantu dan membimbing pelajar tersebut ke arah penyempurnaan kendiri berdasarkan apa yang diminati oleh pelajar.

            Seterusnya, tugas seorang guru kaunseling atau kaunselor sekolah adalah menentukan atau memastikan pengaruh program sekolah ke atas pelajaran perkembangan psikososial pelajar dan menyampaikan maklumat untuk kakitangan lain. Program-program yang dilaksanakan harus berbentuk memberi motivasi kepada pelajar untuk memberi rangsangan kepada supaya bersungguh-sungguh dalam mengejar pencapaian akademik. Selain itu, program-program yang berbentuk kerohanian juga perlu diadakan supaya dapat memberi sedikit keinsafan terhadap pelajar serta tidak melakukan perkara yang dilarang. Dalam konteks ini, kaunselor sekolah harus berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap program sekolah yang dilaksanakan akan mendatangkan faedah dan kesan baik kepada pelajar dari segi perkembangan psikososial. Hal ini menunjukkan bahawa setiap program yang dijalankan memerlukan penelitian yang teliti daripada kaunselor bermula dari tahap perancangan sehingga ke tahap pelaksanaan program-program tersebut.
            Selain itu, tugas seorang guru kaunseling ialah membantu ibu bapa untuk memahami kemajuan pengembangan anaknya, keperluan-keperluannya dan peluang-peluang lain di persekitarannya dengan tujuan untuk menambahkan kebolehan, memberi sumbangan kepada perkembangan anak mereka sendiri. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar mempunyai masalah disiplin, pihak guru kaunselor juga berhak untuk membantu ibu bapa dalam membimbing anak-anak mereka. Selain itu, pihak kaunselor sekolah juga perlu mengadakan sesi perjumpaan dengan ibu bapa pelajar untuk memberitahu perkembangan pembelajaran anak-anak mereka dari semasa ke semasa. Dalam hal ini,  Kaunselor berperanan besar untuk membantu ibu bapa untuk mereka mengetahui kemajuan perkembangan anaknya terutama dari segi sikap dan akademik,keperluan-keperluan yang diperlukan oleh anak-anak mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna serta membantu ibu bapa mendapatkan gambaran akan peluang yang bakal diperoleh sekiranya anak mereka berjaya kelak. Memahami kemajuan perkembangan anak,keperluan dan peluang perlu diperjelaskan kepada ibu bapa agar mereka tahu akan perihal anak mereka secara lebih dekat dan dengan ini mereka akan lebih berminat untuk membantu anak mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang sama ada dari segi kejayaan dalam peperiksaan atau perubahan sikap .

Oleh itu, tugas seorang guru kaunseling dilihat secara keseluruhan lebih kepada menyelesaikan masalah pelajar dan menangani konflik-konflik yang dihadapi pelajar. Dalam konteks ini, guru kaunseling mempunyai tugas yang penting kerana berperanan sebagai kaunselor utama di peringkat sekolah dan bertanggungjawab untuk mengadakan sesi kaunseling mengikut prosedur-prosedur proses kaunseling yang sebenar.