Written By LUKMAN GANU on Sabtu, 17 Januari 2015 | 4:38 PTG

Makna sumber

Ahli-ahli sejarah amat mementingkan penggunaan sumber yang sahih dalam penghasilan sesebuah penulisan sejarah. Sumber yang benar dan tepat tentang sesuatu hasil kajian sejarah dapat membuktikan kesahihan sesuatu peristiwa atau kejadian yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim, “sumber ialah suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan”.[1] Selain itu, terdapat beberapa definisi atau tafsiran lain yang merujuk kepada maksud sumber, antaranya seperti di dalam kamus Oxford English Dictionary, sumber atau “source” bererti “sesebuah karya, dan lain-lain, yang menyediakan maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau siri hal-hal tersebut”.[2] Sumber juga boleh diertikan seperti bahan-bahan tinggalan sejarah yang berupa seperti dokumen, artifak, jurnal, buku catatan peribadi dan lain-ain yang tersimpan di arkib, perpustakaan, pejabat khas, muzium dan sebagainya.

Penggunaan Sumber
Kita haruslah menyedari bahawa kepentingan sumber adalah suatu kepentingan yang asasi. Ini kerana sumber, bagi penulisan sejarah, berbeza dengan penulisan karya kreatif, adalah sesuatu yang mesti wujud. Tanpa sumber, sejarawan tidak berupaya menghasilkan pensejarahannya; samaiah keadaannya dengan sasterawan tanpa ilham, maka ia akan terkapai-kapai mengahadapi alam maya. Oleh itu, sejarawan haruslah mencari serta mengumpulkan dan memastikan sumbernya.[3]
            Sumber juga penting dalam menggambarkan suatu pandangan dan pemikiran seseorang penulis atau pengkaji terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran pada masa lalu. Melalui penulisan mereka, sekurang-kurangnya sejarawan moden kini dapat membayangkan bagaimana corak pemikiran mereka pada masa lain seterusnya mengimaginasikan rentetan sejarah yang berlaku pada masa itu. Ini kerana pemikiran penulis-penulis lalu melambangkan juga pemikiran masyarakat ataupun pemerintah sezamannya. Misalnya, karya-karya tempatan yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi seperti “Hikayat Abdullah, Salasilah Raja-Raja Melayu dan Bugis”, yang menggambarkan corak pemikiran Abdullah Munsyi pada zaman itu.

            Penggunaan sumber juga penting sebagai mengukuhkan hujah dan menguatkan lagi suatu kenyatam yang ingin dijelaskan oleh sejarawan tentang pensejarahan yang ingin dikemukakannya. Dengan adanya sumber, sejarawan dapat membuktikan dan mengesahkan bahawa fakta atau kenyataan sejarah yang dibawa olehnya adalah benar dan tepat. Sebagai contoh; seorang pengkaji sejarah Tanah Melayu ingin membuktikan kekuatan angkatan tentera Jepun sewaktu menyerang Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Untuk mengulculikan hujahnya, seorang penyelidik itu boleh meneliti sumber kedua. Misalnya sebuah bukti yang bertajuk The History of Malaya karya Henry Miller yang menyatakan; pasukan tentera Jepun telah berjaya memeranjatkan penduduk Tanah Melayu serta pegawai-pegawai British apabila mereka berjaya menenggelamkan dua buah kapal British iaitu Prince of Wales dan Repulse. Melalui sumber ini, kenyataan yang dikemukakan oleh sejarawan itu tidak akan dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

            Pada pandangan saya, sumber juga penting dalam memberikan keyakinan kepada sejarawan dan masyarakat umum pada hari ini tentang sejarah sebagai pengetahuan masa lampau yang pasti takkan kembali lagi. Melalui peninggalan sumber yang ada, sejarawan dan masyarakat pasti akan berasa yakin bahawa suatu peristiwa itu telah pun berlaku pada masa lalu dan ia harus diambil sebagai pengajaran untuk pedoman hidup pada masa-masa akan datang.

            Daripada beberapa kenyataan yang telah dijelaskan, dapat saya simpulkan di sini bahawa sumber sangat penting dalam kajian atau penyelidikan sejarah. Dalam hal inl, kita haruslah menyedari akan kepentingan sumber sebagai suatu kepentingan asasi sejarah. Ini bermakna, tanpa sumber, sejarawan tidak mampu untuk menghasilkan pensejarahan dan seterusnya sejarah tidak akan wujud sebagai ilmu pengetahuan masa lalu. Tanpa sumber juga, sejarawan akan terkapai-kapai kelemasan dalam mencari kebenaran tentang masa lalu. Oleh hal yang demikian, bagi menghasilkan pensejarahan yang unggul, sejarawan perlu berusaha mendapatkan sumber yang mempunyai kaitan sama ada  - secara langsung ataupun tidak langsung dengan rentetan peristiwa lalu yang ingin dikajinya.

Bibliografi
Arba’iyah Mohd Nor (2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan       Bahasa dan Pustaka.
Muhd Yusof Ibrahim (1997). llmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala        Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
R. Suntharalingam (1985). Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur : Marican and Sons.



[1] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlmn 50.
[2] R. Suntralingam, Pengenelan Sejarah, hlmn 28.
[3] Muhd Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falasafah, hlmn 154.

G+

Anda baru saja membaca artikel tentang PENGGUNAAN SUMBER SEJARAH. Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Masukkan email anda dibawah ini untuk berlangganan secara percuma dengan email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel terbaru dari LUKMAN GANU
feedburner

0 ulasan:

Catat Ulasan

aik.. baca je ke.. komen la sikit.hehe

LUKMAN GANU © 2014.
Blog Lukman Ganu memaparkan info-info menarik, berita-berita, ilmu pengetahuan, tutorial dan banyak lagi. Powered By Blogger