Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Selasa, 27 Oktober 2020

Kepentingan Kepelbagaian Pengurusan Etika


Gambar Hiasan


Pendahuluan

Pada zaman dunia globalisasi ini, manusia telah melalui pelbagai perubahan hidup dari semasa ke semasa. Perubahan-perubahan ini berlaku dari pelbagai aspek seperti perbuatan, sikap, akhlak dan emosi. Justeru, kepelbagaian pengurusan etika amat perlu untuk mengatur hidup dan sistem kehidupan semua lapisan masyarakat. Hal ini demikian kerana pengurusan etika penting semasa mengendali tatacara kehidupan manusia dalam menguruskan individu, keluarga, organisasi dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan,kebahagiaan dan matlamat tercapai.  Dalam pengurusan etika amat mengambil kira mengenai kemahiran pengurus serta penekanan yang seimbang kepada penerapan dan pengambilan nilai-nilai positif dan beretika. Selain itu, ia merujuk kepada semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Banyak kepentingan dan pengajaran yang diperoleh daripada kepelbagaian pengurusan etika yang dilaksanakan kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

 

 

Kepentingan kepelbagaian pengurusan etika terhadap individu

          Kepelbagaian pengurusan etika  akan memberi kesan atau kepentingan terhadap seseorang individu. Antara kepentingan kepelbagaian pengurusan etika ialah sebagai panduan hidup seseorang individu. Hal ini demikian kerana kepelbagaian pengurusan etika yang dilaksanakan dari pelbagai aspek dapat dijadikan sebagai panduan untuk seseorang dalam melaksanakan tugas-tugas harian. Seseorang akan lebih beretika dan berdisiplin dalam mengatur kehidupan ke arah yang lebih baik. Segala peraturan yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi tertentu akan dijadikan ikutan oleh seseorang individu. Sebagai contoh, seseorang akan mematuhi peraturan dan undang-undang yang akan melanggar norma-norma masyarakat seperti tidak mencuri, tidak membunuh, tidak merogol dan sebagainya. Oleh itu, kepelbagaian pengurusan etika yang ditetapkan secara tidak langsung tingkah laku yang positif dan dijadikan panduan dalam kehidupan seseorang.

Selain itu, kepentingan kepelbagaian pengurusan etika juga dapat individu yang berakhlak mulia. Modal insan yang berakhlak mulia penting dalam memastikan kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara. Kepelbagaian pengurusan etika yang diwujudkan dapat membantu seseorang itu lebih beretika dan berakhlak mulia. Sebagai contoh dalam sesebuah organisasi, seseorang lebih berdisiplin, ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, setiap organisasi tertentu akan menetapkan kod-kod etika bagi memastikan diikuti oleh semua orang dalam organisasi tersebut. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengajar individu untuk lebih berakhlak mulia dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, kepelbagaian pengurusan etika juga dapat memberi kesan positif  terhadap seseorang dalam menikmati kebaikan fizikal, rohani dan mental dalam kehidupan. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari kepelbagaian pengurusan etika yang diamalkan dalam kehidupan. Antaranya, seseorang dapat menunjukkan tingkah laku yang positif dan tidak melanggar atau menentang norma-norma masyarakat. Dari segi rohani juga, seseorang itu akan diterapkan dengan kemuliaan hati dan kawalan emosi yang membawa kepada pembentukan sifat-sifat sabar, pengasih, rasional, bertimbang rasa, dan mempunyai nilai empati dalam diri. Dari segi mental, orang yang beretika tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan perhitungan buruk atau baik  sebelum melakukan sesuatu. Hal ini kerana seseorang itu memiliki sifat-sifat terpuji dan akhlak yang  mulia dalam kehidupannya. Menurut Nazirmuddin (2005), seseorang mempunyai sifat-sifat terpuji dan sahsiah diri yang unggul walau di mana ia berada kerana nilai etika telah membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindakannya.

 

Kepentingan kepelbagaian pengurusan etika terhadap masyarakat

          Kepelbagaian pengurusan etika turut memberi kesan positif kepada masyarakat. Antaranya masyarakat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Dalam konteks ini, Etika nilai penting dalam kehidupan masyarakat kerana ia berhubung dengan tingkah laku masyarakat sama ada baik atau buruk. Perkara paling penting untuk mencapai keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat ialah setiap anggota masyarakat perlu mematuhi peraturan dan undang-undang sesuatu tempat atau komuniti. Menurut Abdul Rahman Md. Aroff (1999), Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan sebagai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Melalui peraturan tersebut, masyarakat perlu mematuhi dan melaksanakan dalam kehidupan seharian. Antara peraturan masyarakat berkaitan konsep atau nilai ialah berdikari, hormat-menghormati, kasih-sayang dan kerjasama. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia perlu hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira berlainan bangsa atau agama. Dalam pengurusan etika di organisasi-organisasi juga menerapkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain yang boleh dipelajari oleh ahli-ahli profesional atau masyarakat umum. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.

 

Kepentingan kepelbagaian pengurusan etika terhadap organisasi

          Kepelbagaian pengurusan etika memberi banyak kepentingan terhadap organisasi-organisasi. Sememangnya setiap organisasi menetapkan kod-kod etika yang perlu diikuti oleh setiap ahli. Kod etika yang diwujudkan adalah bersesuaian etika kerja yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi atau syarikat-syarikat. Di samping itu, etika kerja profesional juga ditekan dalam kehidupan seharian. Hubungan etika kerja profesional dengan kehidupan manusia digunakan untuk mengawal tingkah laku ahli profesional dalam menyuruh melakukan dan meninggalkan perkara yang mendatangkan kesalahan sama ada di sisi undang-undang negara mahupun statusnya sebagai profesional. Kepelbagaian pengurusan etika ini memberi banyak kepentingan terhadap organisasi.

          Kepelbagaian pengurusan etika pada zaman ini dapat mewujudkan sebuah organisasi yang stabil, kukuh dan berkembang maju. Hal ini demikian kerana setiap ahli akan mengamalkan dan mengikuti etika-etika yang ditetapkan yang dapat memudahkan urusan sesebuah organisasi. Pengurusan etika dalam sesebuah organisasi menekankan peraturan-peraturan dan penerapan nilai yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli. Menurut Abdullah Zhidi bin Omar (2014), etika organisasi ialah garis panduan untuk menjalankan tugas seperti berpegang kepada prinsip bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Setiap organisasi juga perlu mewujudkan peraturan- peraturan khas yang berkaitan dengan nilai. Menurut teori Weber (1966), satu ciri penting organisasi birokrasi ialah peraturan-peraturan khas atau khusus yang menentukan susunan autoriti sebagai struktur untuk mengawal (ganjaran bagi pengakuran atau denda bagi penyelewengan) ahli-ahli organisasi tersebut. Justeru, dengan peraturan-peraturan tersebut, ahli-ahli organisasi tidak akan melakukan perkara yang negatif seperti rasuah dan pecah amanah. Keadaan ini akan mendorong sesebuah organisasi lebih stabil, kukuh dan terus berkembang maju.

          Seterusnya, kepentingan pengurusan etika terhadap organisasi ialah dapat mewujudkan sebuah organisasi beretika. Budaya beretika dalam kalangan ahli organisasi amat penting dalam mewujudkan suasana kerja yang kondusif. Pelaksanaan latihan etika dalam organisasi dapat menerapkan nilai-nilai etika terhadap semua ahli organisasi. Menurut Rossouw (2002), amat percaya bahawa latihan etika perlu disediakan untuk pekerja supaya mereka terdedah kepada konsep etika kerana dengan memiliki kuasa dan kemahiran mampu menyumbang kepada keputusan beretika. Dari semasa ke semasa, latihan atau khusus berkaitan etika perlu diwujudkan untuk meningkatkan penerapan etika dalam diri individu dan dapat mengelak dari tekanan-tekanan atau dilema-dilema dalam menjalankan tugas sekali gus mendorong kepada budaya beretika dalam organisasi. Melalui latihan etika yang dilaksanakan ini juga secara tidak jelas dapat mewujudkan sebuah organisasi yang beretika.

Selain itu, kepentingan pengurusan etika juga memantapkan  amalan dan budaya kerja yang baik dalam sesebuah organisasi. Dalam memantapkan amalan dan budaya kerja yang baik, setiap organisasi mengeluarkan kod-kod etika sebagai garis panduan dalam melaksanakan sesuatu atau membuat keputusan. Kitson & Campbell (1996) menegaskan kod etika sebagai kenyataan daripada norma-norma dan kepercayaan sesebuah organisasi dengan tujuan untuk menggalakkan cara pemikiran serta mencorakkan sikap ke arah yang dikehendaki oleh tingkah laku. keadaan mendorong ahli-ahli organisasi mengikuti dan mengamalkan tingkah laku yang baik bersesuaian dengan kod etika yang ditetapkan dan seterusnya menyumbang kepada amalan dan budaya kerja yang baik. Sebagai contoh di organisasi penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga mempunyai kod etika tersendiri dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Kod etika yang dirangka tersebut meliputi dari segala aspek seperti penerbitan cerita, berita, persembahan lagu, iklan-iklan dan sebagainya untuk memberi perkhidmatan dan tidak wujudnya sebarang masalah seperti isu-isu sensitif yang boleh merosakkan nama baik organisasi. Oleh itu, ahli-ahli atau pekerja-pekerja akan berganding tenaga dan mengamalkan tingkah laku positif bersesuaian dengan kod etika yang ditetapkan dan secara tidak menerapkan amalan dan budaya kerja yang baik dalam sesebuah organisasi.

Seterusnya, kepentingan pengurusan etika terdapat organisasi ialah dapat mencapai misi dan visi sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana setiap organisasi mempunyai misi dan visi tersendiri sama ada dalam sektor awan atau swasta. Justeru, peranan pengurusan etika yang seperti perangkaan kod-kod etika penting dalam memastikan misi dan visi sebuah organisasi. Sebagai contoh dalam organisasi di sekolah mempunyai misi dan visi tersendiri untuk mencapai kecemerlangan di semua peringkat. Dalam konteks ini, pihak pengurusan sekolah terutama pengetua perlu memainkan peranan dalam membentuk nilai dan etika yang baik kepada semua pihak berasaskan kod profesion perguruan. Foundtion (2000) menyenaraikan beberapa dimensi utama etika yang boleh dijadikan garis panduan serta perlakuan yang boleh diikuti oleh pihak pengurusan sekolah dan dimensi itu memberi penekanan kepada dimensi pengetahuan, dimensi pelaksanaan dan pencapaian. Keadaan ini menunjukkan peranan etika dalam pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah meliputi segala aspek dalam pengurusan sekolah. Guru-guru juga mesti mengamalkan kod etika perguruan yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan tugas seharian di sekolah. Kewujudan sistem pengurusan etika yang baik dari pihak pengurusan sehingga ke ahli bawahan jelas akan membawa kepada mutu kerja yang lebih baik seterusnya dapat mencapai misi dan visi sesebuah sekolah.

Selain itu, kewujudan pengurusan etika juga dapat memberi kesan positif terhadap sesebuah organisasi dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Dalam Malaysia, terdapat banyak organisasi-organisasi yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat seperti badan-badan uniform, bank, pejabat pos dan banyak lagi. Oleh, pengurusan etika dalam organisasi tersebut dapat memberi garis panduan atau petunjuk yang positif dalam memastikan kerjasama setiap ahli untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Perangkaan kod etika serta latihan yang bercorakkan etika dilihat lebih memberi kesan positif kepada ahli-ahli organisasi yang akan menyumbangkan kepada kecekapan organisasi menghadapi pelanggan atau masyarakat. Selain itu, kod-kod etika juga digunakan oleh badan profesional sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya apabila terdapat sebarang aduan. Keadaan ini sekali gus akan dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbir dan ahli-ahli organisasi dan dapat mendisiplinkan  ahli-ahli organisasi. Sebagai contoh dalam organisasi badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), semestinya mementingkan peraturan dan disiplin dalam kalangan anggota mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa sebarang penyelewengan. Dalam hal ini, nilai integriti penting dalam organisasi PDRM berprinsipkan kod-kod etika yang telah diwujudkan. Menurut Megat Ayop Megat Arifin & Abd. Halim Ahmad (2016), jika organisasi tersebut sedia tertanam dengan ketinggian nilai integriti, maka tugas untuk meningkatkan tahap integriti lebih tertumpu kepada usaha peningkatan kecekapan. Dalam usaha ini secara tidak dapat meningkatkan kecekapan dalam memberi perkhidmatan terbaik terhadap masayarakat.


Kepentingan kepelbagaian pengurusan etika terhadap negara

Kepelbagaian pengurusan etika ini akan memberi banyak kepentingan terhadap negara iaitu negara akan keadaan aman damai dan berkembang maju. Dengan wujudnya pengurusan etika di semua peringkat sama ada dari pihak kepimpinan negara sehingga ke rakyat, maka semua rakyat akan hidup dengan mengamalkan budaya beretika dalam kehidupan seharian. Kewujudan kod-kod etika di setiap organisasi sama ada dalam sektor awan atau sektor swasta dapat mengelakkan berlakunya penyelewengan seperti rasuah, penyalahgunaan wang dan penipuan. Perkara-perkara ini dilihat akan memberi kesan kepada kemerosotan pentadbiran dan prestasi negara. Oleh itu, peranan pengurusan etika dilihat berkesan dalam mendidik masyarakat termasuk ahli profesional untuk beretika.

 

 

Rumusan

Kepelbagaian pengurusan etika dari segala aspek dan bahagian memberi banyak kepentingan kepada individu, masyarakat, organisasi dan negara. Pengurusan etika yang di rangka dan diwujudkan seperti kod-kod etika memberi banyak pengajaran kepada setiap individu dalam kehidupan seharian. Seseorang individu dapat menjadikan kod-kod etika sebagai garis panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Selain itu, peraturan dan undang-undang berkaitan etika tersebut dapat menjadikan sesebuah masyarakat lebih mementingkan nilai-nilai etika. Keadaan ini akan menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling seterusnya kepada negara. Oleh itu, kepelbagaian pengurusan etika memberi banyak kepentingan dan banyak yang dapat dipelajari daripadnya.

 

Rujukan

Nazirmuddin Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yonus@Ahmad. (2005). Pengantar Etika. Kuala Lumpur, Pustaka Salam Sdn Bhd.

Abdul Rahman Md Aroff. (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika Dan Amalan Moral. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Abdullah Zhidi bin Omar et al. (2014). Pengantar Pendidikan Moral Ipta, ipts, ipg &kolej. Punchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen