Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Sabtu, 17 Januari 2015

KRITIKAN SUMBER SEJARAH

gambar hiasan


KRITIKAN SUMBER
Istilah kritikan merujuk kepada proses pentafsiran bukti iaitu satu ujian mendapatkan kebenaran. Ia bukanlah satu pendirian secara mental mengenai sesuatu isu. Menurut Marc Bloch, kritikan ialah menguji kebenaran sesuatu sumber kerana berpunca dari kesangsian terhadap fakta.[1] Menurut Yusof Ibrahim, sumber boleh didefinisikan sebagai suatu yang boleh dijadikan punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan-penulisan. Justeru, secara ringkasnya kritikan pula boleh dikatakan sebagai penilaian bahan yang dijadikan bukti terhadap sesuatu dakwaan atau penulisan.[2]
            Sebagai prasyarat menuju keyakinan, kita seharusnya bersikap sangsi dan ragu-ragu tentang sesuatu sumber atau punca sebelum kita menerima dan mempercayai kebenarannya[3]. Justeru, kita perlu mengetahui kritikan-kritikan sumber yang di telah di buat untuk sesuatu penulisan sejarah dari pelbagai punca pemikiran.
Kritikan sumber bertujuan untuk memastikan sama ada yang dikatakan asal sumber itu adalah asal yang sebenar ataupun tidak. Seandainya yang dipercayai, sumber itu tulen, jika tidak, sumber itu palsu. Sehubungan itu,, sesuatu kritikan sumber dibuat adalah untuk mengetahui ketepatan sesuatu fakta memandangkan ramai ahli sejarah yang menganggap diri mereka hebat dalam sejarah sedangkan apa yang mereka bincangkan adalah tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh dalam bidang atau penulisan tersebut.
Kritikan sumber juga turut dilakukan bertujuan untuk mengetahui siapa penulis dan dari mana sumber dihasilkan supaya ahli sejarah dapat mempercayai kesahihan sesuatu sumber itu. Jadi ahli sejarah akan bebas untuk membuat sebarang takrifan atau tulisan asalkan mempunyai sumber-sumber yang cukup bagi mengukuhkan dan membenarkan tafsiran yang telah dibuat.
Kritikan terhadap sesuatu sumber itu terbahagi kepada dua kaedah atau proses utama iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Pendapat ini dipersetujui oleh Collingwood dan menyifatkan kaedah tersebut sebagai 'sejarah kritikal'.[4]  Antara tokoh sejarah yang benar-benar meletakkan asas-asas kritikan sumber sejarah secara sistematik ialah Ernst Bernheim (1889), yang telah membahagikan kritikan sumber kepada dua jenis, iaitu kritik luaran dan kritik dalaman (external criticism and internal criticism).[5]

Kritikan Luaran
            Melalui kritikan luaran dapat mengesahkan ketulenan dan kesahihan sumber asli tersebut. kritikan luaran ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan pemalsuan sumber. Melalui pendekatan ini, sesuatu sumber dapat disahkan ketulenan dan kesahihan serta dapat memberi kepercayaan kepada masyarakat. Menurut Bloch, kritikan luaran ini berpunca daripada sikap sangsi terhadap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tentang masa lampau dan kaedah-kaedah yang berkesan telah dicari yang membenarkan pengasingan daripada pendustaan.[6] Melalui kritikan luaran, pelbagai langkah yang diambil dalam untuk memastikan kesahihan dan ketulenan sesuatu bahan.
            Langkah pertama dalam menjalankan kritikan luaran ialah melakukan ujian kimia terhadap sumber. Ujian kimia dilakukan bertujuan untuk menentukan umur sebenar sesuatu dokumen. Proses ini melibatkan ujian terhadap keadaan kertas, dakwat, dan cap yang digunakan. Hal ini demikian kerana dalam penghasilan sesebuah dokumen, keada kertas, dakwat dan cap di dalamnya akan berubah mengikut peredaran masa dan zaman dari segi bahan-bahan yang digunakan.
            Seterusnya, ahli sejarah akan mengkaji bahasa-bahasa yang digunakan dalam dokumen-dokumen sejarah. Hal ini demikian kerana gaya bahasa di dunia adalah cukup dinamik serta sentiasa berubah mengikut zaman. Gaya bahasa sentiasa berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya.
            Langkah seterusnya ialah menjalankan ujian tulisan tangan terhadap dokumen-dokumen sejarah yang ditulis dengan tangan dan bukan ditaip atau dicetak. Kaedah yang digunakan dalam ujian ini adalah kaedah perbandingan. Kaedah perbandingan ini dapat mengenal pasti ciri-ciri persamaan dan perbezaan yang dihasilkan oleh orang yang sama ataupun individu yang berlainan dalam menulis sumber-sumber sejarah tersebut.
            Cara seterusnya untuk menentukan ketulenan sesuatu dokumen sejarah ialah menjalankan ujian terhadap bahan-bahan yang digunakan dalam buatan dokumen sejarah. Ujian ini dapat memudahkan para pengkaji mengesan sama ada bahan yang digunakan tidak wujud ketika dokumen atau sumber tersebut dihasilkan. Sebagai contoh, kertas wujud pada tahun 1150 Masihi, namun jika terdapat sumber atau dokumen yang ditulis pada kertas sebelum tahun tersebut adalah palsu kerana kebanyakan sumber atau dokumen yang ditulis sebelum 1150 Masihi ialah pada kulit kambing. Oleh itu, langkah-langkah tersebut penting dalam membuat kritikan luaran terhadap sumber bagi memastikan ketulenan sumber tersebut.




Kritikan Dalaman
Proses kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarah bermula selepas proses kritikan selesai. Kritikan dalaman bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah.[7] Kritikan dalaman adalah mengenai kandungan sumber dan kebiasaannya diikuti kritikan luaran sendiri. Kritikan dalaman juga penting di dalam kajian sesuatu sumber sejarah untuk menentukan kebenarannya dan kerasionalnya. Kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarawan sendiri tanpa memerlukan kerjasama daripada ahli bidang lain tidak seperti kritikan luaran. Kritikan dalaman merangkumi banyak aspek seperti aspek kandungan itu benar atau tidak, kerasionalan, logik dan banyak lagi.
Tujuan kritikan dalaman adalah untuk membentuk kredibiliti sesuatu sumber. Sebagai permulaan, ahli sejarah perlu memahami apa yang dimaksudkan saksi melalui bukti mereka. Sehubungan dengan itu, ahli sejarah dapat menentukan dengan betul kredibiliti saksi di bawah persoalan. Seterusnya ahli sejarah mula melakukan proses tafsiran sumber setelah mengenal pasti ketulenan sumber. Terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh ahli sejarah terhadap sumber sejarah. Ahli sejarah perlu menapis setiap sumber sejarah untuk menjamin setiap perkara atau butiran yang di ambil daripada sumber boleh dipertanggungjawabkan.  Seterusnya, ahli sejarah juga perlu mengesan fakta dan pernyataan yang ditulis dalam penulisan sejarah dan bukan hanya diterima secara terus daripada saksi-saksi yang diperolehi.
Proses kritikan dalaman lebih banyak menumpukan kepada proses tafsiran ke atas kandungan sumber-sumber sejarah. Terdapat beberapa tahap tafsiran sumber yang perlu dilakukan oleh ahli sejarah seperti tafsiran verbal, tafsiran teknikal, tafsiran logik, tafsiran psikologi dan tafsiran fakta. Proses taksiran ini dilakukan supaya dapat menentukan keaslian kandungan sumber setelah menentukan ketulenan fizikal sumber-sumber tersebut. proses pertama ialah tafsiran verbal. Tafsiran verbal dilakukan apabila seseorang menumpukan perhatian pembacaan ke atas perkataan-perkataan yang terdapat dalam sesuatu dokumen secara individu ataupun kumpulan.[8] Proses ini memerlukan pengetahuan dari sudut bahasa yang mana ahli sejarah perlu menguasai lebih dari satu bahasa seperti bahasa Ingeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan sebagainya. Proses seterusnya ialah tafsiran logik iaitu merupakan satu proses yang dilakukan oleh ahli sejarah untuk menyambung pelbagai bahagian sumber mengikut kaedah pemikiran yang betul. Proses ini juga memberi satu jalinan peristiwa yang bersambungan dalam pemikiran sejarawan, sebelum atau sesudah peristiwa yang berlaku. Ahli sejarah boleh memberi idea dan pandangan terhadap tafsiran sumber yang dikaji tetapi hendaklah berasaskan kepada kebenaran peristiwa-peristiwa sejarah yang telah berlaku.Seterusnya, proses tafsiran seterusnya ialah tafsiran psikologi. Proses ini adalah melihat pemikiran dan ciri-ciri penulis sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran fizikal, sosial dan intelektual.[9] Taksiran psikologi merupakan proses membaca mengikut sudut pandangan bagi mendapatkan pemikiran sejarah. Proses ini biasanya berkaitan dengan idea emosi seorang penulis atau pun ahli sejarah. Sekiranya mereka dipengaruhi oleh emosi, mereka akan menghasilkan tafsiran yang berat sebelah dan tidak bersikap profesional. Sebagai contoh, ramai dalam kalangan ahli sejarah barat yang terdiri daripada pegawai tadbir British yang menulis tentang sejarah Malaysia gagal memberi tafsiran psikologi secara tepat dan jelas. Proses tafsiran yang terakhir yang dijalankan ialah tafsiran fakta. Proses ini digunakan setelah ahli sejarah berjaya memahami makna dan kandungan sumber atau dokumen yang dikaji. Proses ini dilakukan dengan menggunakan satu atau lebih fakta-fakta sejarah yang signifikan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi menjelaskan sebab dan akibat sesuatu peristiwa berlaku.
            Pengkaji telah melakukan pelbagai cara dalam melakukan kritikan dalam. Pengkaji perlu untuk mengetahui jenis orang yang mencipta atau membuat sumber. Seseorang perlu menyiasat ke atas pendidikan mereka, kedudukan dalam hidupnya, pandangan politik dan sifat.[10] Selepas itu, mereka terus boleh memeriksa kredibiliti saksi tersebut. seterusnya ialah membentuk jika orang di belakang sumber adalah benar-benar dalam kedudukan yang diketahui orang pertama tentang perkara di bawah penyiasatan dan sama ada mereka adalah jujur. Testimoni saksi tidak boleh diambil kira kecuali mereka benar kehilangan kepercayaan. Ia boleh diterima kepada saksi untuk melakukan beberapa kesalahan sekiranya sisa-sisa testimoninya benar-benar kukuh.  Terdapat juga beberapa sejawan perlu berhati-hati pada langkah ini. Mereka perlu berhati-hati untuk tidak mengandaikan tentang peluang atau kesempatan saksi untuk mengamati, bermaksud mereka adalah mahir. Selepas mengumpulkan testimoni-testimoni daripada saksi, mereka kemudian boleh membandingkan testimoni-testimoni dan membuang kesilapan-kesilapan di dalamnya, sama seperti menggunakan sumber mereka yang boleh dipercayai dalam mengenal pasti kepercayaan saksi atau bukti baru. Dalam membandingkan suatu sumber dengan yang lain bagi menentukan krebiliti, terdapat tiga kemungkinan iaitu mereka boleh mempersetujuinya dengan sumber dalam persoalan, mereka boleh tidak setuju atau mereka akan senyap. Akhirnya, selepas ahli sejarah telah menapis terus sumber dan menggunakan kritikan luaran dan dalaman dengan ketat, seseorang itu boleh menulis.





RUJUKAN

Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala
Lumpur.
Abdul Rahman Haji Abdullah. (2006). Pengantar Ilmu Sejarah. Ampang: Dawana Sdn. Bhd.
Muhd Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah Dewan Bahasa dan Pustaka.
 R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur







[1] R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Halaman 35.
[2] Arba’ yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan bahasa & Pustaka 2002, hlm 50.
[3] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengatar Ilmu Sejarah, Ampang: Dawama Sdn. Bhd 1994, hlm 76.
[4]   R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Halaman 36.
[5]   Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengatar Ilmu Sejarah, Ampang: Dawama Sdn. Bhd 1994, hlm 76
[6]   Bloch March, The Historion’s craft, hlmn 76-86.
[7] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,2002., hlman 60.
[8] Garragham, G.J. A Guide to Historical Method, hlmn 321
[9] ibid
[10] Lucey, William, History: Methods and Linterpretation, Chicago : Layola UP, 1958, hlmn 73

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen