Blog Lukman Ganu Memaparkan Berita-Berita, Ilmu pengetahuan, Tutorial dan Banyak lagi.

Jumaat, 12 Jun 2015

CARA UNTUK MENGATASI GEJALA PONTENG SEKOLAH

Gambar Hiasan


Peranan pihak sekolah

Antara cara untuk mengatasi gejala ponteng sekolah ialah pihak sekolah juga berperanan dalam menangani gejala ponteng dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana pihak sekolah merupakan pihak bertanggungjawab untuk mendidik atau mengajar mahupun membentuk akhlak pelajar di sekolah. Pihak sekolah khususnya guru-guru perlulah menerapkan nilai-nilai moral dalam kalangan subjek yang diajar supaya pelajar dapat membezakan antara perkara baik atau perkara buruk sejak awal lagi. Penerapan nilai-nilai berdisiplin dan bertanggungjawab kepada pelajar dapat mengelakkan pelajar daripada melakukan gejala ponteng sekolah. Nilai-nilai tersebut dapat membentuk sikap dan pemikiran manusia di mana penghayatan nilai-nilai murni akan membolehkan seseorang itu membuat keputusan yang wajar dan bertanggungjawab ke atas akhlak dan perilakunya (Mohd. ArifHj Ismail, Mohd Jasmy Abd. Rahman dan Rosnaini Hj. Mahmud, 2005).
Di samping itu, pihak sekolah juga perlu mengadakan peruntukan undang-undang di peringkat sekolah. Hal ini boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar dan pelajar tidak akan melakukan sesuatu yang negatif seperti ponteng sekolah.
Jenis tindakan yang boleh diambil ke atas kesalahan ponteng sekolah:

1.1.KaunselingKaunseling
2.2.AmaranAmaran
3.3.Merotan (sekali)Merotan (sekali)
4.4.Merotan (2 kali)Merotan (2 kali)
5.5.Merotan (3 kali)Merotan (3 kali)
6.6.Merotan melebihi 3 kali Merotan melebihi 3 kali
7.7.Gantung sekolah Gantung sekolah
8.8.Buang sekolah Buang sekolah
9.9.Tindakan polis Tindakan polis

(Unit Disiplin (1990), Rekod Disiplin Murid, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1990)Kementerian Pendidikan.

Menurut responden yang ditemu bual juga, Pelajar yang ditangkap atas kesalahan ponteng akan dirujuk kepada kaunselor untuk mengenal pasti  punca yang menyebabkan pelajar berkelakuan sedemikian. Seterusnya  pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa berkaitan salah laku pelajar yang ponteng, pada kebiasaannya guru menjemput ibu bapa untuk hadir ke sekolah. Perbincangan kebiasaannya melibatkan pihak pentadbir, guru disiplin, guru tingkatan guru-guru mata pelajaran dan pelajar itu sendiri. Semua pihak yang terlibat berusaha mencari solusi terbaik supaya pelajar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, denda juga akan menjadi teladan kepada semua murid-murid supaya tidak mengulangi perkara yang sama. Seterusnya, pihak sekolah perlu mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk motivasi dan kesedaran kepada murid-murid seperti kempen jangan ponteng dan ceramah-ceramah motivasi yang akan membantu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran.

 Peranan ibu bapa

Antara cara untuk mengatasi gejala ponteng sekolah ialah ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mendidik dan memberi perhatian terhadap anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana banyak masa anak-anak dihabiskan bersama ibu bapa di rumah. Hal ini juga cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan bahawa keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Oleh itu, Ibu bapa perlulah sentiasa mengawal dan memerhati setiap gerak-geri atau tingkah laku anak-anak mereka dari semasa ke semasa. Menurut respon yang ditemubual, Ibu bapa merupakan tulang belakang dalam membentuk perilaku anak. Tahap sosial yang semakin meninggi menyebabkan keghairahan mencari wang ringgit dan harta menjadi keutamaan. Wang ringgit diberikan sewenang-wenangnya tanpa menyiasat bagaimana wang tersebut digunakan. Selian itu, Lambakan pusat-pusat hiburan, pusat beli belah menyebabkan tempat-tempat ini menjadi tempat yang ideal untuk ponteng. Keluar seawal jam 6 pagi dan pulang lewat malam, sememangnya masa yang diluangkan dengan anak-anak terhad. Justeru, anak-anak bebas melakukan apa sahaja yang pastinya sesuatu yang menghiburkan dan menyeronokkan.
            Di samping itu, sikap ibu bapa juga memainkan peranan dalam mempengaruhi sikap anak-anak khususnya pelajar dalam melakukan setiap perbuatan. Ibu bapa seharusnya menunjukkan sikap yang baik supaya dijadikan teladan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Anak-anak akan mengikut sikap baik ibu bapa yang ditunjukkan oleh ibu bapa itu untuk dilaksanakan dalam kehidupan dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti ponteng sekolah. Di samping itu, masalah-masalah peribadi ibu bapa seperti masalah kerja, perbalahan hendaklah tidak perlu melibatkan anak-anak kerana akan mendatangkan tekanan kepada mereka seterus amat mudah untuk mereka melakukan perkara-perkara negatif seperti ponteng sekolah.
             Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D Franklin, Maka ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama membentuk karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada pada hari akan datang. Justeru penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani gejala ini.  Ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai murni dan ilmu-ilmu agama dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya mereka dapat menilai perkara yang baik atau yang buruk sejak awal lagi. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan dengan norma masa kini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak dan tidak terlibat dengan gejala-gejala negatif khususnya ponteng sekolah.  Oleh itu, peranan ibu bapa penting untuk mendidik anak-anak supaya tidak berpengaruh dengan gejala-gejala negatif dan contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-Quran dan Al-Hadis.

Peranan Masyarakat

Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam menangani gejala ponteng sekolah. Masyarakat haruslah mempunyai sikap bertanggungjawab dan bekerjasama dalam menangani gejala ini. Seharusnya masyarakat sekeliling haruslah mendukung konsep ummah atau kekitaan dalam menangani gejala ponteng sekolah, sikap tegur-menegur, nasihat-menasihati apabila sesuatu kepincangan berlaku dalam masyarakat.  Masyarakat haruslah mengelak sikap lepas tangan apabila berlaku sebarang gejala gejala negatif dan jangan bertindak seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Masyarakat setempat boleh membendung gejala ini dengan menegur perbuatan ponteng sekolah secara langsung atau membuat aduan kepada pihak berkuasa. Pada masa yang sama, lokasi-lokasi yang sering menjadi tempat berkumpulnya pelajar ponteng ini hendaklah dipantau oleh ahli jawatankuasa masyarakat setempat. Masyarakat setempat juga boleh meminta bantuan pihak polis dalam mengawasi lokasi tertentu yang menjadi tempat berkumpulnya pelajar ponteng. Menurut responden pula, terdapat segelintir masyarakat yang memberikan maklumat berkaitan ‘hot spot’ pelajar ponteng kepada pihak sekolah. Justeru, pihak sekolah mengambil tindakan untuk melakukan siasatan untuk mengenal pasti pelajar-pelajar terlibat. Jika pelajar ponteng dalam kuantiti yang ramai, pihak sekolah akan menghubungi pihak berkuasa tempatan seperti pihak polis untuk membuat rondaan di kawasan tersebut. Pelajar akan dibawa ke balai polis atau dibawa semula ke sekolah sebelum waris hadir.
Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang dapat merapatkan hubungan kemasyarakatan hendaklah diadakan seperti aktiviti hari keluarga ataupun gotong royong. Hal ini demikian kerana apabila aktiviti seperti itu dapat dijalankan, hubungan silaturahim semakin erat menyebabkan anak-anak muda berasa bersalah untuk melakukan perkara negatif seperti ponteng sekolah. Melalui aktiviti ini juga, pelajar akan lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu aktiviti. Penerapan nilai-nilai itu akan mengelakkan pelajar terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti ponteng sekolah. Menurut responden pula, Selain itu program kemasyarakatan yang melibatkan PIBG dan JKK kampung, AJK kampung turut diadakan bagi membanteras gejala ponteng. Pihak yang terlibat ini akan membekalkan maklumat kepada pihak sekolah dan mesyuarat akan diadakan setiap bulan.  Oleh itu, masyarakat memainkan peranan yang penting dalam membanteras gejala ponteng supaya tidak berleluasa.

Peranan media massa

Media massa juga memainkan peranan dalam menangani gejala pelajar ponteng sekolah. Hal ini kerana keberkesanan media massa dalam mempengaruhi minda memang tidak dapat disangkal lagi.  Selain itu, media massa juga dikatakan saluran komunikasi dan informasi yang penting buat masyarakat. Oleh itu, media massa elektronik seperti televisyen boleh memapar kesan gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah agar boleh menjadi pengajaran kepada mereka. Kesan gejala ponteng akan menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat seprti menghisap dadah, seks bebas dan sebagainya. oleh itu, media massa haruslah memainkan peranan untuk menyebarkan iklan-iklan nasihat dengan penerapan nilai-nilai moral supaya dapat member pengajaran kepada semua pihak.

Gambar Hiasan

Selain itu, berita dan rencana mengenai gejala ponteng yang disiarkan oleh media cetak juga mampu member pengajaran dan maklumat kepada kita semua. Semua perkara yang dilaporkan oleh media massa sudah pasti member pelbagai pendapat yang wujud lalu menjadikan masyarakat kita sedar dan membuat perbandingan kehidupan mereka dengan berita yang didengari. Melalui media massa, masyarakat lebih peka terhadap gejala-gejala yang berlaku dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya apabila melihat gejala tersebut. sikap bertanggungjawab dalam diri setiap anggota masyarakat penting dalam menangi gejala ponteng sekolah ini dan tidak berleluasa.
Di samping itu, media massa juga haruslah tidak menayangkan cerita-cerita, program atau iklan-iklan yang bersifat negatif seperti cerita berunsur gengster. Hal ini demikian kerana akan mendorong remaja terutamanya para pelajar untuk meniru aksi-aksi tersebut seperti merokok, menghisap dadah, gam, berlumba haram dan secara tidak langsung akan terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Oleh itu, media massa banyak member peranan dalam usaha untuk membentuk akhlak masyarakat dan menangani gejala sosial khususnya ponteng sekolah.

Rujukan
Mohd Arif Hj Ismail, Mohd Jasmy Abd. Rahman & Rosnaini Hj. Mahmud.
2005. Nilai-nilai murni dan pendidikan bersepadu: ke arah kemanusiaan
sejagat. Prosiding wacana Pendidikan Islam (Siri 4): Pendidikan Islam ke
arah kemanusiaan sejagat. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM.

(1990) Buku Rekod Salah Laku Masalah Disiplin, Unit Disiplin Bahagian Sekolah (tidak








Ahad, 18 Januari 2015

PROSES PEMBENTUKAN AKTA PENDIDIKAN 1996



Sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, para pemimpin bersama-sama bersetuju untuk menentukan hala tuju kita sendiri. Bidang pendidikan merupakan salah satu bidang yang diberi tumpuan dalam menentukan hala tuju masa depan negara. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta pelajaran 1961. Akta pelajaran Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Namun, pada masa kini Akta Pendidikan 1996 dijadikan rujukan untuk digunakan dalam sistem Pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan Merupakan Lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 yang bertujuan untuk memantapkan serta mengemaskinikan sistem pendidikan kebangsaan seiring dengan kehendak dan cita-cita negara Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. selain itu, akta ini juga menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada. Sehubungan itu, akta ini sangat berkaitan dengan perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan.
            Seperti yang telah diketahui sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia telah ditadbir selama 35 tahun di bawah peruntukan Akta pelajaran 1961. Akta ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan peruntukan yang didapati dalam Akta Pendidikan 1944 di England. Secara amnya, akta pelajaran 1961 adalah berdasarkan kepada cadangan=cadangan yang dikemukakan oleh Laporan Penyata Razak 1956. Kandungan utama yang terkandung dalam laporan tersebut adalah pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, Akta Pelajaran 1961 telah digubal yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu. Akta ini adalah merupakan satu akta yang akan mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak  kebangsaan yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, penggunaan kurikulum yang sama di semua sekolah dan pengambilan peperiksaan awan yang sama oleh semua murid. Hal ini demikian kerana untuk mewujudkan satu bentuk identiti kebangsaan yang menyumbang ke arah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
            Akta pelajaran 1961 sememangnya sesuai pada sekitar tahun 50-an dan 60-an kerana pada ketika itu negara baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dasar pendidikan ketika itu berasaskan kepada penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) (Mohd.Ismail Othman, 2008). Unsur utama dalam  Akta Pelajaran 1961 adalah seperti memperkukuh sistem pentadbiran pendidikan melalui pelantikan pegawai utama (seksyen 3-8), menyediakan suatu rangka sistem pendidikan kebangsaan yang lebih kukuh (seksyen 19-24), mewajibkan pendaftaran semua sekolah dan institusi pendidikan (seksyen 44-52) dan pendaftaran guru (seksyen 74-88) dan seterusnya menggariskan tugas dan kuasa jemaah Nazir sekolah (seksyen 96-103). Menurut Tie Fatt Hee, 2002, cabaran yang di hadapi dalam sistem pendidikan kebangsaan ketika itu boleh dirumuskan dalam bahagian awal akta pelajaran 1961. Polisi pendidikan adalah seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 iaitu membentuk sistem pendidikan kebangsaan yang memenuhi keperluan negara dan dapat memperkembangkan budaya, sosial, ekonomi dan politik.
            Salah satu daripada sistem pendidikan yang jelas dan spesifik apabila cadangan Laporan Rahman Talib 1960 diterima dan diluluskan Parlimen dalam bentuk Akta pelajaran 1961 ialah aspek pemusatan. Sehubungan itu, Menteri Pelajaran telah memperoleh autoriti yang signifikan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajaran. Menteri pelajaran tersebut bertanggungjawab dalam menguruskan segala pentadbiran pendidikan negara seprti dipersetujui Parlimen.  Penggubalan Akta Pelajaran 1961 juga bukan digubal dengan sewenang-wenangnya, namun lebih kepada penelitian laporan-laporan pendidikan yang dibuat pada sebelumnya seperti Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Seterusnya Penyata Razak tersebut disemak semula oleh Jawatankuasa Penyemak yang diketuai oleh Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Encik Abdul Rahman Talib pada tahun 1960 bertujuan untuk memantapkan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru, kesemua perkara yang diterima daripada Laporan Razak dan perakuan yang dibuat dalam Jawatankuasa Penyemak 1960 ini digabungkan ke dalam suatu peruntukan undang-undang pelajaran yang kemudiannya dinamakan Akta Pelajaran 1961. Selain itu pada tahun 1989, sistem pendidikan negara telah melangkah ke satu tahap apabila Falsafah Pendidikan Negara diperkenalkan secara bertulis semasa di bawah Menteri Pendidikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Falsafah ini menitik beratkan pembinaan potensi individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sejajar dengan aspirasi negara dan kepatuhan kepada Tuhan.     

            Memasuki zaman globalisasi dalam bidang ekonomi, sains, teknologi serta maklumat menampakkan persekitaran yang baru dan memberi cabaran dan kesan kepada masyarakat dan negara. Di samping itu, negara juga sedang berusaha keras untuk mencapai matlamat negara maju menjelang tahun 2020 pada masa yang sama. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan dalam sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan merupakan peranan penting bagi mencapai hasrat tersebut. Sistem pendidikan kebangsaan mesti dimantapkan dan penggubalan undang-undang baru hendaklah sesuai bagi mencapai hasrat dan cita-cita negara. Akta yang diguna pakai ketika itu iaitu Akta Pelajaran 1961 dilihat tidak sesuai lagi untuk digunakan walaupun berjaya mencapai beberapa objektif. Walau bagaimanapun, disebabkan negara ini ingin memenuhi tuntutan masa dalam zaman globalisasi serta hendak mencapai wawasan 2020, satu perundangan yang lebih sesuai perlu diwujudkan bagi bersaing dengan negara-negara maju.
            Menurut Mohd. Ismail Othman, 2008, semasa Menteri Pendidikan membentangkan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 pada bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan Rang Undang-undang Pendidikan itu adalah yang baru, menyeluruh, lengkap dan kemas kini bagi menggantikan Akta Pelajaran 1961 yang akan dimansuhkan dengan berkuat kuasanya Akta Pendidikan yang baru. Satu Akta Baru iaitu Akta Pendidikan 1996 atau juga dikenali sebagai Akta 550 telah diwujudkan untuk mengadakan peruntukan undang-undang bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini diwujudkan bertujuan untuk memantapkan sistem pendidikan untuk generasi yang akan datang sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bertaraf dunia. Walaupun Akta Pendidikan 1996 adalah akta baru, tetapi masih mempunyai kesinambungan kepada dasar pendidikan yang sedia ada.
            Penggubalan Akta 1996 mengambil masa selama enam tahun dan dipengerusikan oleh tiga Menteri Pendidikan. Jawatankuasa peringkat menteri mengkaji dan meneliti rang undang-undang secara terperinci sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Ketika proses penggubalan rang undang-undang itu, pandangan diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan pendidikan, sosial, agama, politik serta orang perseorangan. Pada bulan Ogos dan september, Majlis Perundingan Akta Pendidikan yang terdiri daripada 81 orang ahli daripada pelbagai pertubuhan bersidang bagi memberi pandangan dan cadangan bagi memantapkan rang undang-undang tersebut. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, apabila Rang Undang-undang Pendidikan dibentangkan pada 18 september menyebut bahawa perundangan itu adalah satu rang undang-undang yang baru dan bukan pindaan daripada Akta Pelajaran1961.
            Kesannya, Bermulanya pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 telah merubah lanskap baru terhadap sistem pendidikan negara dengan menuju ke peringkat yang lebih tinggi. Akta Pendidikan 1996 yang dilaksanakan telah digubal berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan ini adalah berpaksikan kepada perakuan-perakuan Penyata Razak dan laporan Rahman Talib. Sehubungan itu, Konsep pengetahuan telah menjadi asas utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Perkembangan pesat dalam semua bidang seperti bidang sains, teknologi maklumat dan peranan signifikan internet memerlukan seseorang individu itu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang relevan untuk mengekalkan status dan daya saing. Sekarang, Akta Pendidikan 1996 masih diguna pakai dalam sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat negara maju tahun 2020.

            

Sabtu, 17 Januari 2015

KAEDAH PENYELIDIKAN SEJARAH

gambar hiasan


Terdapat lima peringkat atau proses yang perlu dilalui dalam kaedah penyelidikan sejarah. Proses ini perlu dilalui bagi memastikan segala sumber dan kaedah yang digunakan adalah tepat dan bertepatan supaya hasil penyelidikan yang diperoleh adalah asli dan tepat.
Tahap yang pertama adalah Heuristik. Pada tahap ini, pengkaji mencari sumber untuk dikerjakan. Bagi sumber pula terdapat dua jenis iaitu sumber primer dan sekunder. Sumber primer bermaksud sumber yang masih asli dan belum lagi diolah oleh mana-mana pihak manakala bagi sumber sekunder pula adalah sifatnya yang tidak asli dan telah diproses ataupun telah ditafsirkan menjadi suatu generalisasi dan andaian-andaian tertentu dengan berpandukan Sumber Primer.
Tahap kedua adalah tahap Kritik. Kritik terbahagi kepada dua iaitu kritik luaran dan kritik dalaman. Pada tahap ini, pengkaji akan menilai sumber dari sudut pandangan nilai bukti  Penulis atau penyelidik yang mempunyai kecenderungan terhadap sesuatu ideologi, pemikiran, budaya dan sebagainya cenderung membuat tafsiran terhadap sumber yang diperoleh menjurus kepada sifat bias.
Ketiga adalah tahap Sintaksis iaitu pernyataan rasmi tentang penemuan (sintaksis) heuristik dan kritisme. Dengan erti kata lain, fakta sejarah secara khususnya, apa yang tergambar ialah adanya suatu konsep yang stabil, kukuh, terbukti dan tidak boleh dipersoalkan mahupun digugat lagi kebenarannya. Sebagai contohnya, gambar tokoh-tokoh yang telah ditemu bual bagi sumber lisan, artifak-artifak atau lain-lain yang boleh dijadikan illustrasi mahupun visual.
Keempat pula ialah tahap interpretasi atau sintesis iaitu membuat tafsiran yang koheren kesejarahannya. Dengan erti kata lain, langkah sejarawan seterusnya ialah mengkaji dan menganalisis sumber-sumber tersebut. Tujuannya ialah mendapatkan data-data yang diperlukan bagi kajian, iaitu data-data yang berupa fakta-fakta sejarah, rajah, jadual, gambar ataupun pandangan yang berkait dengan judul atau bidang dan tempoh kajian.

Kaedah sejarah yang terakhir ialah tahap ekposisi iaitu mempersembahkan hasilan ataupun penemuan berdasarkan objektif dan kesignifikasinya. Dengan erti kata lain, setelah sumber-sumber rujukan dan data-data itu siap dibaca, dibuat catatan, dikritik jika perlu tentang isi dan kesahihannya, dan dianalisis, langkah seterusnya ialah menuliskan kajian sejarah itu. Penulisan sebenarnya adalah merupakan hasil terakhir penyelidikan seseorang sejarawan dan seperti yang telah dinyatakan merupakan yang terpenting.

HURAIAN RINGKAS MENGENAI 2 TEORI SEJARAH

Gambar Hiasan
Sejarah membawa pengertian yang amat luas. Makna sejarah sering kali dikatakan amat luas maksud dan pengertiannya. Secara umumnya sejarah boleh diertikan seperti peristiwa yang telah berlaku, peristiwa penting yang telah berlaku, yang dilakukan oleh mereka yang penting, membawa perubahan dan bermakna kepada individu, masyarakat, negara dan dunia. Dari sudut teori sejarah terbahagi kepada dua.
            Pertama ialah teori tentang bentuk terawal akan sejarah itu yang bermaksud teori tentang kemunculan sejarah. Sehubungan dengan itu, ia akan menyentuh asal usul sejarah yang merangkumi dari pelbagai persoalan iaitu apa? Bagaimana? Bila? Dan di mana?.
            Keduanya, teori sejarah ialah tentang bagaimana manusia, masyarakat atau sesebuah peradaban itu menyelidik, memahami, mempelajari, menghurai dan seterusnya menghayati dan mendapat manfaat daripada sejarah. Ini juga melibatkan juga apa yang di istilahkan sebagai kaedah sejarah yang merupakan satu alat atau tatacara yang mempunyai rangkaian peraturan dan pelaksanaan yang agak sistematik.
            Kesimpulannya, jika digabungkan kedua-duanya, maka teori sejarah bermaksud sebagai kajian terhadap asal usul kemunculan dan konsep sejarah dan pensejarahan serta perkembangannya melalui satu kaedah yang lebih sistematik. 

MAKNA SEJARAH SPEKULATIF

            


Sejarah merupakan suatu disiplin ilmu pengetahuan yang tersendiri. Sejarah yang berbentuk spekulatif  merupakan satu bentuk pemikiran sejarah oleh falsafah pemikiran dari segi analisis psikologi terhadap tatacaranya yang sebenar dan yang telah dirangka. Ia menggunakan hukum-hukum yang umum, andaian-andaian dan implikasinya dalam percubaan untuk mengetahui kedudukannya dalam keseluruhan pengalaman manusia, hubungannya dengan bentuk-bentuk pengalaman yang lain dan asal-usulnya.  Kaedah dan penulisan berbentuk spekulatif ini banyak mempengaruhi  fahaman dan penulisan pengkaji-pengkaji falsafah sejarah.
Sejarah bermaksud peristiwa yang benar-benar terjadi dari masa lampau. Spekulatif iaitu bermaksud sesuatu hal yang tidak terdapat dalam suatu fakta. Sejarah Spekulatif merupakan suatu perenungan filsafat mengenai tabiat-tabiat atau sifat-sifat pada suatu proses sejarah. Tiga perkara dalam pengkajian filsafat sejarah spekulatif iaitu Irama atau pola yang dapat diamati dalam proses sejarah, Penggerak atau motor yang menyebabkan terjadinya proses sejarah tersebut dan tujuan atau sasaran akhir dari proses dalam.

Dari segi perhatian para ahli menegenai sejarah spekulatif, Karl Marx dan Hegel lebih mencurahkan perhatian pada motor atau penggerak suatu sejarah. Manakala, Spengler dan Toynbee lebih memperhatikan tujuan dari proses sejarah Spekulasi Sejarah. R.J.Collingwood, yang merupakan sejarawan terkenal Inggeris pula menerima hakikat bahawa wujudnya bentuk falsafah sejarah yang spekulatif tetapi menganggap bentuk-bentuk seperti ini tidak wajar dianggap sebagai falsafah sejarah.  Menurut beliau,  bentuk yang spekulatif adalah sesuatu yang mengkhayalkan manakala ketakdiran adalah sesuatu yang tersedia dan kemungkinan berbentuk teologi. Disebabkan itu, beliau mengatakan bahawa bentuk-bentuk spekulatif ketakdiran sejarah atau historicism sebenarnya tidak berupa falsafah sejarah.