Proses
bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah
bukan hanya digalas oleh guru kaunseling sahaja namun semua pihak
termasuk guru biasa juga terlibat secara langsung dalam proses bimbingan dan
kaunseling pelajar. Selain itu, bukan semua sekolah yang mempunyai seorang guru
kaunselor dalam sistem persekolahan. Justeru, kadang-kadang guru biasa juga
menjalankan fungsi-fungsi sebagai guru bimbingan dan seorang kaunselor. Peranan
guru-guru biasa adalah sangat penting kerana mereka mengenali murid-murid dalam
bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan
tingkah laku bermasalah semua murid-murid mereka. Menurut A. Ghani Abdullah dan
Abd. Rahman Abd. Aziz (2009), guru perlu mempunyai sikap dan keperibadian
sebagai kaunselor ataupun pembimbing kepada para pelajar memandangkan gurulah
yang memainkan peranan yang besar dan penting alam membentuk pelajar yang baik
dan berketerampilan. Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai kaunselor
atau pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang
diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang
dihadapinya.
Gambar Hiasan |
Antara peranan guru biasa sebagai
kaunselor atau pembimbing ialah membantu dan membimbing pelajar mengatasi
masalah yang dihadapi seperti masalah berkaitan dengan pembelajaran,
sosioekonomi dan keluarga. Sebagai contoh, guru membimbing sekumpulan pelajar
melaksanakan tugasan yang diberi sukar seperti latihan matematik dan akan
memudahkan pelajar memahami dan menyelesaikan latihan tersebut. Dalam masalah
sosial emosi seperti kecewa, bosan, dan sebagainya, guru perlu membimbing
pelajar-pelajar berkenaan supaya dapat membina keyakinan diri semula dan
menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif. Terdapat juga sesetengah kes
pelajar menghadapi masalah keluarga seperti perceraian. Dalam hal ini, peranan
guru diperlukan untuk menasihati dan berbincang dengan pelajar untuk mencari
punca berlakunya masalah keluarga. Guru juga boleh membimbing pelajar sekiranya
pelajar tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri. Dalam konteks ini, guru
harus peka dan mengambil berat tentang setiap pergerakan dan tingkah laku
pelajar. Sekiranya mendapati muri-murid menghadapi masalah, guru perlu
membimbing mencari cara menyelesaikan maslah secara positif supaya masalah
disiplin bilik darjah tidak wujud seperti tidak menumpukan perhatian semasa
pengajaran dan pembelajaran dijalankan, tidur dan sebagainya.
Selain itu, peranan guru biasa
sebagai kaunselor adalah membantu mengembangkan kebolehan pelajar. Hal ini
demikian kerana pelajar-pelajar di sekolah mempunyai tahap kebolehan yang
berlainan sama ada pelajar pintar, sederhana dan lemah. Menurut Ramlah Jantan
dan Mahami Razali ( 2002 ) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu
kepada sebelas aspek yang berlainan, iaitu fizikal, emosi, kecerdasan, sosial,
budaya , personaliti, bakat, minat, latar belakang dan lain-lain. Justeru, guru
memainkan peranan dalam membimbing dengan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan
untuk mencabar pemikiran mental mereka. Hal ini akan menggalakkan pelajar lebih
terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Dalam konteks ini, guru haruslah
memberi peluang kepada murid-murid yang lebih lemah untuk melibatkan diri dalam
pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa disayangi dan akan melibatkan
diri secara aktif semasa pengajaran dijalankan. Di dalam kelas, guru boleh
menggunakan teknik atau kaeah menyoal, teknik peneguhan, serta memberi dorongan
kepada para pelajar supaya kebolehan dapat dikembangkan. Kebolehan murid
mestilah dikembangkan dengan seimbang dari semua aspek iaitu jasmani, rohani,
emosi, intelek dan sosial.
Di samping itu,
peranan guru biasa sebagai kaunselor ialah menolong pelajar membuat
penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu pelajar-pelajarnya menyesuaikan
diri dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan
sebagainya. Penyesuaian ini berlaku secara langsung atau tidak langsung sama
ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Hal ini demikian kerana
supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan situasi
baru yang mereka hadapi. Hal ini disebabkan semua pelajar mempunyai latar
belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya, agama, kaum dan keluarga. Justeru, guru perlu
memainkan peranan dalam membimbing pelajar dengan membiasakan mereka menghadapi
situasi sebenar dengan memberi nasihat, motivasi serta kata-kata yang boleh
meningkat semangat pelajar. Dalam konteks ini, guru perlu lebih memahami
pelajarnya melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap sikap dan keadaan
pelajar-pelajar di dalam bilik darjah.
Jika terdapat pelajar yang kelihatan murung, guru perlu mengambil
tindakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar tersebut dan mengambil
langkah-langkah yang sesuai.
Peranan guru biasa sebagai kaunselor
seterusnya membimbing pelajar membuat keputusan. Pengalaman yang dimiliki oleh
guru berbanding dengan pelajar membolehkan guru lebih bijak dalam membuat
sesuatu keputusan. Justeru, guru perlu membimbing murid untuk membuat keputusan
yang bijaksana dan rasional dalam pelbagai situasinya dalam kehidupan mereka
supaya mereka tidak kehilangan jalan dalam kehidupan. Dalam konteks ini, guru
hanya memberi cadangan kepada murid, tetapi hak untuk membuat keputusan adalah
berada di tangan pelajar tersebut. Selain itu, guru juga perlu memastikan
keputusan yang dibuat oleh murid adalah berpandukan nilai-nilai moral, agama,
terminal dan juga instrumental. Hal Ini disebabkan nilai-nilai adalah penting
dalam memberikan panduan dalam kehidupan manusia. Guru-guru biasa juga boleh
membantu murid-murid untuk memilih mata pelajaran -mata pelajaran yang mereka
ingin belajar dan berkomunikasi dengan mereka secara kerap untuk berfikir
tentang bidang-bidang kerjaya yang mereka akan ceburi pada masa depan kelak.
Seterusnya, peranan guru biasa
sebagai seorang kaunselor ialah membentuk tabiat kerja murid. Pembentukan
tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi
dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti
positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap
kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan
tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar
segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam
menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan.
Oleh itu, dapat dirumuskan guru
biasa juga mempunyai peranan yang hampir sama dengan seorang kaunseling iaitu
sikap pembimbing. Sememangnya sifat pembimbing ini dimiliki oleh seorang dalam
membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru biasa juga
harus memiliki kemahiran-kemahiran dalam proses membimbing agar dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi
oleh pelajar dan memudahkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen