Gambar Hiasan |
Pendahuluan
Pada
zaman dunia globalisasi ini, manusia telah melalui pelbagai perubahan hidup
dari semasa ke semasa. Perubahan-perubahan ini berlaku dari pelbagai aspek
seperti perbuatan, sikap, akhlak dan emosi. Justeru, kepelbagaian pengurusan
etika amat perlu untuk mengatur hidup dan sistem kehidupan semua lapisan
masyarakat. Hal ini demikian kerana pengurusan etika penting semasa mengendali
tatacara kehidupan manusia dalam menguruskan individu, keluarga, organisasi dan
masyarakat bagi memastikan kesejahteraan,kebahagiaan dan matlamat tercapai. Dalam pengurusan etika amat mengambil kira
mengenai kemahiran pengurus serta penekanan yang seimbang kepada penerapan dan
pengambilan nilai-nilai positif dan beretika. Selain itu, ia merujuk kepada
semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan
disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang
berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku
profesion dalam masyarakat. Banyak kepentingan dan pengajaran yang diperoleh daripada
kepelbagaian pengurusan etika yang dilaksanakan kepada individu, keluarga,
masyarakat, organisasi dan negara.
Kepentingan kepelbagaian
pengurusan etika terhadap individu
Kepelbagaian pengurusan etika akan memberi kesan atau kepentingan terhadap
seseorang individu. Antara kepentingan kepelbagaian pengurusan etika ialah
sebagai panduan hidup seseorang individu. Hal ini demikian kerana kepelbagaian
pengurusan etika yang dilaksanakan dari pelbagai aspek dapat dijadikan sebagai
panduan untuk seseorang dalam melaksanakan tugas-tugas harian. Seseorang akan
lebih beretika dan berdisiplin dalam mengatur kehidupan ke arah yang lebih
baik. Segala peraturan yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi tertentu akan
dijadikan ikutan oleh seseorang individu. Sebagai contoh, seseorang akan
mematuhi peraturan dan undang-undang yang akan melanggar norma-norma masyarakat
seperti tidak mencuri, tidak membunuh, tidak merogol dan sebagainya. Oleh itu,
kepelbagaian pengurusan etika yang ditetapkan secara tidak langsung tingkah
laku yang positif dan dijadikan panduan dalam kehidupan seseorang.
Selain
itu, kepentingan kepelbagaian pengurusan etika juga dapat individu yang
berakhlak mulia. Modal insan yang berakhlak mulia penting dalam memastikan
kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara. Kepelbagaian pengurusan etika yang
diwujudkan dapat membantu seseorang itu lebih beretika dan berakhlak mulia.
Sebagai contoh dalam sesebuah organisasi, seseorang lebih berdisiplin, ikhlas,
jujur, amanah dan sebagainya dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu,
setiap organisasi tertentu akan menetapkan kod-kod etika bagi memastikan
diikuti oleh semua orang dalam organisasi tersebut. Keadaan ini secara tidak
langsung dapat mengajar individu untuk lebih berakhlak mulia dalam kehidupan
seharian.
Di
samping itu, kepelbagaian pengurusan etika juga dapat memberi kesan
positif terhadap seseorang dalam menikmati
kebaikan fizikal, rohani dan mental dalam kehidupan. Banyak perkara yang boleh
dipelajari dari kepelbagaian pengurusan etika yang diamalkan dalam kehidupan.
Antaranya, seseorang dapat menunjukkan tingkah laku yang positif dan tidak
melanggar atau menentang norma-norma masyarakat. Dari segi rohani juga,
seseorang itu akan diterapkan dengan kemuliaan hati dan kawalan emosi yang
membawa kepada pembentukan sifat-sifat sabar, pengasih, rasional, bertimbang
rasa, dan mempunyai nilai empati dalam diri. Dari segi mental, orang yang
beretika tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan
perhitungan buruk atau baik sebelum
melakukan sesuatu. Hal ini kerana seseorang itu memiliki sifat-sifat terpuji
dan akhlak yang mulia dalam
kehidupannya. Menurut Nazirmuddin (2005), seseorang mempunyai sifat-sifat
terpuji dan sahsiah diri yang unggul walau di mana ia berada kerana nilai etika
telah membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindakannya.
Kepentingan kepelbagaian
pengurusan etika terhadap masyarakat
Kepelbagaian pengurusan etika
turut memberi kesan positif kepada masyarakat. Antaranya masyarakat hidup dalam
keadaan aman dan sejahtera. Dalam konteks ini, Etika nilai penting dalam
kehidupan masyarakat kerana ia berhubung dengan tingkah laku masyarakat sama
ada baik atau buruk. Perkara paling penting untuk mencapai keharmonian dan
kedamaian dalam masyarakat ialah setiap anggota masyarakat perlu mematuhi
peraturan dan undang-undang sesuatu tempat atau komuniti. Menurut Abdul Rahman
Md. Aroff (1999), Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan sebagai tradisi,
norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Melalui
peraturan tersebut, masyarakat perlu mematuhi dan melaksanakan dalam kehidupan
seharian. Antara peraturan masyarakat berkaitan konsep atau nilai ialah
berdikari, hormat-menghormati, kasih-sayang dan kerjasama. Sebagai contoh,
masyarakat Malaysia perlu hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira
berlainan bangsa atau agama. Dalam pengurusan etika di organisasi-organisasi juga
menerapkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain yang boleh
dipelajari oleh ahli-ahli profesional atau masyarakat umum. Keadaan ini secara
tidak langsung dapat mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Kepentingan kepelbagaian
pengurusan etika terhadap organisasi
Kepelbagaian pengurusan etika memberi
banyak kepentingan terhadap organisasi-organisasi. Sememangnya setiap
organisasi menetapkan kod-kod etika yang perlu diikuti oleh setiap ahli. Kod
etika yang diwujudkan adalah bersesuaian etika kerja yang ditetapkan oleh
sesebuah organisasi atau syarikat-syarikat. Di samping itu, etika kerja
profesional juga ditekan dalam kehidupan seharian. Hubungan etika kerja
profesional dengan kehidupan manusia digunakan untuk mengawal tingkah laku ahli
profesional dalam menyuruh melakukan dan meninggalkan perkara yang mendatangkan
kesalahan sama ada di sisi undang-undang negara mahupun statusnya sebagai
profesional. Kepelbagaian pengurusan etika ini memberi banyak kepentingan
terhadap organisasi.
Kepelbagaian pengurusan etika pada
zaman ini dapat mewujudkan sebuah organisasi yang stabil, kukuh dan berkembang
maju. Hal ini demikian kerana setiap ahli akan mengamalkan dan mengikuti
etika-etika yang ditetapkan yang dapat memudahkan urusan sesebuah organisasi.
Pengurusan etika dalam sesebuah organisasi menekankan peraturan-peraturan dan
penerapan nilai yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli. Menurut Abdullah Zhidi
bin Omar (2014), etika organisasi ialah garis panduan untuk menjalankan tugas
seperti berpegang kepada prinsip bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus,
bertanggungjawab dan adil. Setiap organisasi juga perlu mewujudkan peraturan-
peraturan khas yang berkaitan dengan nilai. Menurut teori Weber (1966), satu
ciri penting organisasi birokrasi ialah peraturan-peraturan khas atau khusus
yang menentukan susunan autoriti sebagai struktur untuk mengawal (ganjaran bagi
pengakuran atau denda bagi penyelewengan) ahli-ahli organisasi tersebut.
Justeru, dengan peraturan-peraturan tersebut, ahli-ahli organisasi tidak akan
melakukan perkara yang negatif seperti rasuah dan pecah amanah. Keadaan ini
akan mendorong sesebuah organisasi lebih stabil, kukuh dan terus berkembang
maju.
Seterusnya, kepentingan pengurusan
etika terhadap organisasi ialah dapat mewujudkan sebuah organisasi beretika. Budaya
beretika dalam kalangan ahli organisasi amat penting dalam mewujudkan suasana
kerja yang kondusif. Pelaksanaan latihan etika dalam organisasi dapat
menerapkan nilai-nilai etika terhadap semua ahli organisasi. Menurut Rossouw
(2002), amat percaya bahawa latihan etika perlu disediakan untuk pekerja supaya
mereka terdedah kepada konsep etika kerana dengan memiliki kuasa dan kemahiran
mampu menyumbang kepada keputusan beretika. Dari semasa ke semasa, latihan atau
khusus berkaitan etika perlu diwujudkan untuk meningkatkan penerapan etika
dalam diri individu dan dapat mengelak dari tekanan-tekanan atau dilema-dilema
dalam menjalankan tugas sekali gus mendorong kepada budaya beretika dalam
organisasi. Melalui latihan etika yang dilaksanakan ini juga secara tidak jelas
dapat mewujudkan sebuah organisasi yang beretika.
Selain
itu, kepentingan pengurusan etika juga memantapkan amalan dan budaya kerja yang baik dalam
sesebuah organisasi. Dalam memantapkan amalan dan budaya kerja yang baik,
setiap organisasi mengeluarkan kod-kod etika sebagai garis panduan dalam
melaksanakan sesuatu atau membuat keputusan. Kitson & Campbell (1996)
menegaskan kod etika sebagai kenyataan daripada norma-norma dan kepercayaan
sesebuah organisasi dengan tujuan untuk menggalakkan cara pemikiran serta
mencorakkan sikap ke arah yang dikehendaki oleh tingkah laku. keadaan mendorong
ahli-ahli organisasi mengikuti dan mengamalkan tingkah laku yang baik
bersesuaian dengan kod etika yang ditetapkan dan seterusnya menyumbang kepada
amalan dan budaya kerja yang baik. Sebagai contoh di organisasi penyiaran Radio
Televisyen Malaysia (RTM) juga mempunyai kod etika tersendiri dalam memberi
perkhidmatan kepada masyarakat. Kod etika yang dirangka tersebut meliputi dari
segala aspek seperti penerbitan cerita, berita, persembahan lagu, iklan-iklan
dan sebagainya untuk memberi perkhidmatan dan tidak wujudnya sebarang masalah
seperti isu-isu sensitif yang boleh merosakkan nama baik organisasi. Oleh itu,
ahli-ahli atau pekerja-pekerja akan berganding tenaga dan mengamalkan tingkah
laku positif bersesuaian dengan kod etika yang ditetapkan dan secara tidak
menerapkan amalan dan budaya kerja yang baik dalam sesebuah organisasi.
Seterusnya,
kepentingan pengurusan etika terdapat organisasi ialah dapat mencapai misi dan
visi sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana setiap organisasi mempunyai
misi dan visi tersendiri sama ada dalam sektor awan atau swasta. Justeru,
peranan pengurusan etika yang seperti perangkaan kod-kod etika penting dalam
memastikan misi dan visi sebuah organisasi. Sebagai contoh dalam organisasi di
sekolah mempunyai misi dan visi tersendiri untuk mencapai kecemerlangan di
semua peringkat. Dalam konteks ini, pihak pengurusan sekolah terutama pengetua
perlu memainkan peranan dalam membentuk nilai dan etika yang baik kepada semua
pihak berasaskan kod profesion perguruan. Foundtion (2000) menyenaraikan
beberapa dimensi utama etika yang boleh dijadikan garis panduan serta perlakuan
yang boleh diikuti oleh pihak pengurusan sekolah dan dimensi itu memberi
penekanan kepada dimensi pengetahuan, dimensi pelaksanaan dan pencapaian. Keadaan
ini menunjukkan peranan etika dalam pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah
meliputi segala aspek dalam pengurusan sekolah. Guru-guru juga mesti
mengamalkan kod etika perguruan yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan tugas
seharian di sekolah. Kewujudan sistem pengurusan etika yang baik dari pihak pengurusan
sehingga ke ahli bawahan jelas akan membawa kepada mutu kerja yang lebih baik
seterusnya dapat mencapai misi dan visi sesebuah sekolah.
Selain
itu, kewujudan pengurusan etika juga dapat memberi kesan positif terhadap
sesebuah organisasi dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Dalam Malaysia, terdapat banyak organisasi-organisasi yang memberi perkhidmatan
kepada masyarakat seperti badan-badan uniform, bank, pejabat pos dan banyak
lagi. Oleh, pengurusan etika dalam organisasi tersebut dapat memberi garis
panduan atau petunjuk yang positif dalam memastikan kerjasama setiap ahli untuk
memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Perangkaan kod etika serta
latihan yang bercorakkan etika dilihat lebih memberi kesan positif kepada
ahli-ahli organisasi yang akan menyumbangkan kepada kecekapan organisasi
menghadapi pelanggan atau masyarakat. Selain itu, kod-kod etika juga digunakan
oleh badan profesional sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan
ahli-ahlinya apabila terdapat sebarang aduan. Keadaan ini sekali gus akan dapat
mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbir dan ahli-ahli organisasi dan
dapat mendisiplinkan ahli-ahli
organisasi. Sebagai contoh dalam organisasi badan beruniform seperti Polis
Diraja Malaysia (PDRM), semestinya mementingkan peraturan dan disiplin dalam
kalangan anggota mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat
tanpa sebarang penyelewengan. Dalam hal ini, nilai integriti penting dalam
organisasi PDRM berprinsipkan kod-kod etika yang telah diwujudkan. Menurut
Megat Ayop Megat Arifin & Abd. Halim Ahmad (2016), jika organisasi tersebut
sedia tertanam dengan ketinggian nilai integriti, maka tugas untuk meningkatkan
tahap integriti lebih tertumpu kepada usaha peningkatan kecekapan. Dalam usaha
ini secara tidak dapat meningkatkan kecekapan dalam memberi perkhidmatan
terbaik terhadap masayarakat.
Kepentingan kepelbagaian
pengurusan etika terhadap negara
Kepelbagaian
pengurusan etika ini akan memberi banyak kepentingan terhadap negara iaitu
negara akan keadaan aman damai dan berkembang maju. Dengan wujudnya pengurusan
etika di semua peringkat sama ada dari pihak kepimpinan negara sehingga ke
rakyat, maka semua rakyat akan hidup dengan mengamalkan budaya beretika dalam
kehidupan seharian. Kewujudan kod-kod etika di setiap organisasi sama ada dalam
sektor awan atau sektor swasta dapat mengelakkan berlakunya penyelewengan
seperti rasuah, penyalahgunaan wang dan penipuan. Perkara-perkara ini dilihat
akan memberi kesan kepada kemerosotan pentadbiran dan prestasi negara. Oleh
itu, peranan pengurusan etika dilihat berkesan dalam mendidik masyarakat
termasuk ahli profesional untuk beretika.
Rumusan
Kepelbagaian
pengurusan etika dari segala aspek dan bahagian memberi banyak kepentingan
kepada individu, masyarakat, organisasi dan negara. Pengurusan etika yang di
rangka dan diwujudkan seperti kod-kod etika memberi banyak pengajaran kepada
setiap individu dalam kehidupan seharian. Seseorang individu dapat menjadikan
kod-kod etika sebagai garis panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Selain
itu, peraturan dan undang-undang berkaitan etika tersebut dapat menjadikan
sesebuah masyarakat lebih mementingkan nilai-nilai etika. Keadaan ini akan
menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling seterusnya kepada
negara. Oleh itu, kepelbagaian pengurusan etika memberi banyak kepentingan dan
banyak yang dapat dipelajari daripadnya.
Rujukan
Nazirmuddin
Ahmad, Mohd Taib Ariffin, Marinah Awang dan Azita Yonus@Ahmad. (2005).
Pengantar Etika. Kuala Lumpur, Pustaka Salam Sdn Bhd.
Abdul
Rahman Md Aroff. (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika Dan Amalan Moral.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Abdullah
Zhidi bin Omar et al. (2014). Pengantar Pendidikan Moral Ipta, ipts, ipg
&kolej. Punchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.