Written By LUKMAN GANU on Rabu, 8 Oktober 2014 | 12:01 PTG

Hujan pagi turun lagi baru-baru ini. Langit yang gelap, angin dingin yang bertiup menyapu wajah dan tempias hujan di balkoni menggamit nostalgia. Saya teringat ketika zaman persekolahan dahulu. Hati melonjak-lonjak seronok apabila berjalan dengan payung kertas berwarna coklat.



Oleh kerana saiznya yang lebih besar daripada tudung saji di rumah, saya memegang hujung payung agar ia tidak terkibar-kibar ditiup angin apabila berselisih dengan lori balak. Selalunya, sedang asyik menggenggam kaki payung agar tidak terlepas ditiup angin, seluar pula yang basah terpercik air lopak apabila lori balak merempuhnya. Bila ia terjadi, ia bukannya masalah. Saya akan tertawa dan terus menapak ke sekolah. Seluar saya akan kering sendiri kerana saya akan bermain police and thief sebelum kelas bermula.

Apabila di sekolah menengah pun saya tetap akan berpayung. Tetapi kali ini sambil mengayuh basikal pula untuk ke sekolah. Saya tidak suka berbaju hujan kerana tak nampak macho. Lagipun, bau plastik baju hujan selalunya menyesak deria bau saya. Padahal, baunya lebih kurang sama dengan bau payung kertas yang berwarna coklat itu. Alasan.

Pada hari ini, hujan yang turun cukup merisaukan. Fikiran berlumba-lumba membuat jangkaan. Jika saya berada di rumah, saya sudah terbayang akan lewat sampai ke pejabat kerana jalanraya pasti sesak. Fikiran mula mencongak, jalan atau lebuh raya manakah yang saya perlu lalui untuk mengelak kesesakan?

Jika saya berada di pejabat pula, saya mula menjangka apakah perlu pulang awal atau menanti hingga hujan teduh untuk mengelak kesesakan? Jika pulang mengikut waktunya, apakah saya sempat tiba ke rumah sebelum maghrib? Andainya saya bertolak selepas maghrib, apakah jalan raya akan sesak juga jika ada pokok tumbang menghadang jalan?

Begitulah kita. Semakin dewasa, kita kian serius menjalani kehidupan seharian. Apabila aral mendatang, fikiran kita tidak melihat ia sebagai peluang untuk berehat lalu menghadapinya dengan selamba. Sebaliknya kita melihat aral itu sebagai masalah yang akan merosakkan program. Kerana itu, apabila berdepan dengan halangan yang kecil pun, fikiran kita sudah melihat ia sebagai problem. Mungkin sekali pola pemikiran kita sudah keras dan statik kerana kita sudah lali mengharungi putaran kehidupan yang berulang-ulang hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan berganti tahun.

Seolah-olah kehidupan kita sudah diprogram begitu rupa hinggakan kita akan panik andainya kelainan terjadi dalam kehidupan seharian kita. Terbangun pagi lewat 10 minit, anak terlupa flush tandas, Astro tidak bersiaran kerana hujan atau terlupa menggosok tudung untuk ke pejabat bisa membikin kecoh seisi rumah. Padahal, sekiranya kita terima aral-aral itu seadanya, ia bukan masalah besar.

Sebenarnya mental kita boleh dilenturkan apabila menghadapi halangan-halangan kecil. Pokoknya kita mestilah sedia maklum bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi walaupun kita telah berpuluh-puluh kali melakukan dengan jayanya. Bagaimana pun, oleh kerana kita sentiasa berjaya melakukan sesuatu, maka mental kita mempunyai tanggapan ia tidak mungkin gagal walau sekali. Andainya kita teringat kembali Murphy's Lawyangmengatakan, anything that can go wrong, will go wrong,maka kita akan sedar yang diri kita ini tidak sesempurna mana pun.

Apabila mental kita tidak kaku kerana sudah dapat menerima segala aral kecil yang mendatang, tentu sekali ia memberi kesan terhadap emosi. Hormon adrenalin tidak mendadak keluar daripada ginjal hingga menyebabkan jantung mengepam darah yang akhirnya boleh membuat kita panik. Emosi yang terkawal itu akan menjadikan kita tenang. Ia bagus untuk kestabilan spiritual. Andainya kita dapat menangani masalah-masalah kecil yang berlaku, tentu sekali mental kita tidak penat dan akan bersedia untuk menghadapi masalah yang lebih besar.

Pendek kata, kita mestilah memberi reaksi yang berpadanan dengan kadar masalah itu sendiri. Masalah-masalah kecil tidak perlu diambil peduli. Kalau pun ia ditangani, ia tidak perlu dihadapi dengan pendekatan serius dan penuh emosi. Sebaliknya masalah besarlah yang harus diambil perhatian dan didepani dengan berani.


Andainya, masalah kecil ditangani seperti ia masalah besar, itulah melatah namanya.

G+

Anda baru saja membaca artikel tentang MASALAH KECIL DAN MASALAH BESAR. Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Masukkan email anda dibawah ini untuk berlangganan secara percuma dengan email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel terbaru dari LUKMAN GANU
feedburner

0 ulasan:

Catat Ulasan

aik.. baca je ke.. komen la sikit.hehe

LUKMAN GANU © 2014.
Blog Lukman Ganu memaparkan info-info menarik, berita-berita, ilmu pengetahuan, tutorial dan banyak lagi. Powered By Blogger